LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Perak menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C dan merampas 27 set bubu naga di kedudukan sekitar 2.2 batu nautika dari barat laut Pulau Talang, dekat sini, semalam.
Pengarah APMM Perak Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, bubu naga berukuran lebih kurang 10 meter panjang setiap satu yang dipasang secara berangkai dikesan pasukan bot ronda Maritim Malaysia ketika sedang melaksanakan operasi.
“Rampasan dianggarkan bernilai RM2,000 itu diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
“Pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan Shukri berkata, pihaknya menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C kerana melanggar syarat sah lesen di kedudukan 8.8 batu nautika barat daya Sungai Belukang sekitar jam 1 petang, pada Sabtu.
Menurutnya, seorang tekong bersama tiga kru warga Myanmar berumur dalam lingkungan 34 hingga 45 tahun turut ditahan.
“Kesemua hasil tangkapan yang dianggarkan sebanyak 100 kilogram termasuk peralatan menangkap ikan dirampas dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu beroperasi kurang dari 12 batu nautika dari daratan serta menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: