LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menahan dua vesel nelayan tempatan (VNT) di perairan barat daya Pulau Katak dekat sini minggu lalu.
Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, kedua-dua vesel itu ditahan dalam Op Khas Tanjung 2 pada 19 Februari lalu selepas disyaki menangkap ikan kurang daripada satu batu nautika dari daratan terhampir dekat kawasan tersebut.
Menurutnya, penahanan telah dilakukan oleh Bot Penggalang 1639 milik Maritim Malaysia ketika rondaan penguatkuasaan dijalankan di perairan barat daya pulau berkenaan.
“Vesel pertama telah dikesan beroperasi pada jarak 0.8 batu nautika dari daratan dengan 16 kru terdiri daripada lapan warga tempatan, enam warga India dan dua warga Indonesia.
“Manakala, vesel kedua pula dikesan pada jarak 0.5 batu nautika bersama 14 kru iaitu empat warga tempatan dan 10 warga Indonesia.

“Kedua-dua vesel itu dipercayai melanggar syarat sah lesen di bawah Akta Perikanan 1985,” katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, kedua-dua vesel dan kru diiring ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kampung Acheh sekitar jam 5.30 petang dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Perak untuk siasatan lanjut.
Mohamad Shukri turut menegaskan bahawa Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran zon dan syarat lesen.
“Maritim Malaysia akan terus mempertingkatkan rondaan dan penguatkuasaan bagi memastikan undang-undang perikanan dipatuhi serta sumber laut negara terus terpelihara bagi memastikan sumber perikanan negara kekal lestari dan tidak dieksploitasi,” ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Maritim Kuala Kurau tahan PATI Myanmar tangkap ikan secara haram


