LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak ,memberi bantuan kecemasan kepada seorang nelayan warga Thailand yang cedera ketika sedang melakukan rutin harian di perairan negeri, pada Isnin.
Maritim Perak menerusi Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi telah mengkoordinasikan Medical Evacuation (MEDEVAC) kepada kru vasel nelayan tempatan yang cedera pada kedudukan 53 batu nautika barat laut dari Pulau Pangkor.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, mangsa Bunkrong, 59, dilaporkan mengalami kecederaan pada kaki kanan pada jam 7.40 pagi.
“Maritim Negeri Perak telah menggerakkan aset ke lokasi kejadian bagi bantuan pemindahan mangsa dari vasel berkenaan ke Jeti Pasukan Polis Marin, Kampung Acheh.
“Mangsa telah tiba di jeti sebelum dibawa menaiki ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke Hospital Seri Manjung sekitar jam 12.10 tengah hari,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurut Mohamad Shukri, mangsa yang menerima rawatan lanjut kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Tambah beliau, masyarakat yang ingin melaporkan sebarang kejadian kecemasan di perairan negara boleh menghubungi melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737. – MG Perak
Artikel Berkaitan: