LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) berjaya merampas sebanyak 28 set bubu naga atau bubu kambang di perairan Negeri Perak, pada Khamis.
Bubu berukuran 10 meter itu dirampas pada kedudukan sekitar 0.3 batu nautika timur laut Pulau Talang, dekat sini pada lewat petang.
Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Mohd Hambali Ya’akup berkata, bubu naga itu berjaya dikesan bot ronda yang sedang melaksanakan Op Sayong, Op Pintas, Op Tanjung dan Op Tiris di perairan negeri.
Katanya, bubu itu dikesan selepas pasukannya menemukan kain merah yang mencurigakan terapung pada permukaan air yang diikat pada pancang kayu beserta botol yang dijadikan pelampung.
“Kesemua bubu naga dianggarkan bernilai hampir RM2,000 itu dirampas dan kemudiannya diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
“Pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Ujar Mohd Hambali, rampasan bubu itu juga menjadikan keseluruhan rampasan oleh Maritim Perak adalah sebanyak 262 set bubu naga sejak awal Januari lalu.
Tegas beliau, Maritim Perak akan menggandakan rondaan dan mengenakan tindakan ke atas pesalah yang melakukan aktiviti menyalahi undang-undang ini.
“Kesan penggunaan bubu yang mempunyai banyak injap dan bermata kecil itu boleh memusnahkan ekosistem serta sumber hasil laut dalam jangka masa panjang.
“Selain itu, ia juga menjejaskan pendapatan nelayan terutamanya nelayan pantai atau tradisional yang menggunakan cara penangkapan biasa seperti menggunakan pukat hanyut,” katanya lagi. -MG Perak
Artikel Berkaitan:
[…] Maritim Perak rampas 28 set bubu naga di perairan Lumut […]