LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak, menyerahkan tiga nelayan Indonesia yang hanyut ke perairan negeri ini Jumaat lalu kepada wakil konsulat negara itu pada Selasa.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, mereka yang diserahkan adalah Atan, 37, M.Azmi, 28, dan Saffardi Affendi, 30, yang kesemuanya berasal dari Tanjung Balai di Indonesia.
Katanya, penyerahan tiga nelayan itu dilakukan di hadapan wakil konsulat negara itu, Muiz Mediawan di Ibu Pejabat Maritim Negeri Perak pada jam 3 petang.
Menurut beliau, terdahulu pihaknya menerima maklumat berkenaan tiga nelayan bersama sebuah bot yang hanyut di kawasan perairan Pulau Sembilan.
“Maritim Perak telah mengatur gerak aset bot ronda ke lokasi bagi mengambil semua mangsa daripada vesel nelayan tempatan tersebut untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.
Tambah Mohamad Shukri, urusan penghantaran pulang ketiga-tiga nelayan tersebut dilakukan oleh pihak Indonesia sendiri selain wakil konsulat bersetuju menerima mangsa setelah selesai sesi pengesahan dan dokumentasi.
“Pemilik bersetuju untuk vesel mereka dimusnahkan di Malaysia memandang vesel tidak lagi sesuai digunakan dan dibaiki.
“Penyerahan kesemua nelayan warga Indonesia ini mencerminkan hubungan baik yang sedia terjalin antara Malaysia dan Indonesia dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan perairan kedua-dua negara terjamin,” jelasnya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Maritim Perak tahan sembilan nelayan, tiga tekong warga Indonesia