Maritim Perak tahan 20 nelayan warga asing

LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak berjaya menahan 20 nelayan warga asing di kedudukan 2.1 batu nautika Barat Laut Pulau Mentagor, Pangkor, di sini pada Khamis.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, kesemua nelayan berkenaan ditahan bersama sebuah bot nelayan tempatan kelas C kerana disyaki melanggar undang-undang sekitar jam 7.00 petang.

Menurut beliau, bot terbabit dikesan pasukan bot ronda Maritim Malaysia ketika melakukan rondaan menerusi Op Sayong, Op Pintas, Op Tiris an Op Khas Pagar Laut di sekitar perairan Perak.

“Pemeriksaan yang dijalankan mendapati, bot berkenaan dikendali seorang tekong yang dibantu seorang kru warga Thailand yang mempunyai dokumen pengenalan diri sah.

“Bagaimanapun 13 lagi warga Myanmar dan lima kru warga Kemboja memiliki dokumen meragukan dan telah tamat tempoh,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, kesemua suspek yang berusia antara 27 hingga 60 tahun itu kemudiannya ditahan, manakala bot dan peralatan menangkap ikan dirampas sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah dan tinggal melebihi masa yang ditetapkan.

“Maritim Malaysia menegaskan agar komuniti maritim sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi mengelakkan tindakan undang-undang diambil,” katanya. -MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI