LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas B kerana melanggar syarat sah lesen dalam Operasi MARDOF di kedudukan 0.7 batu nautika barat Sungai Burung, dekat sini semalam.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, bot yang menggunakan pukat tunda itu ditahan sekitar jam 4 petang.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan beroperasi di kawasan larangan, sekali gus melanggar syarat yang ditetapkan dalam lesen.
“Selain itu, dua kru warga Indonesia yang berada di atas bot gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
“Bot bersama kesemua kru dan peralatan menangkap ikan telah dibawa ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kampung Acheh untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi siasatan lanjut.
“Kes berkenaan akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63,“ katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Dalam pada itu, Mohamad Shukri turut menegaskan bahawa Maritim Malaysia akan terus melaksanakan tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang undang dan menjejaskan sumber perikanan negara.
“Orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah maritim melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-683 2254 untuk tindakan dan maklumbalas segera,“ ujarnya. – MG Perak