Vesel pukat jerut bilis dan pukat tunda ditahan Maritim Perak

LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Perak telah menahan dua vesel pukat jerut bilis serta sebuah vesel pukat tunda kelas C dalam dua serbuan berasingan di Pulau Pangkor dan Pulau Jarak, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, penahanan tersebut dibuat oleh bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan rutin di sekitar lokasi berkenaan.

Menurutnya, rondaan tersebut telah membawa kepada penahanan sebuah vesel pukat tunda kelas C yang dipercayai beroperasi di luar perairan perikanan Malaysia pada kedudukan 23.6 batu nautika tenggara Pulau Jarak pada jam 4.20 petang semalam.

“Penahanan ini dilakukan susulan hasil maklumat dari Pusat Operasi Maritim Negeri Perak yang memaklumkan terdapat beberapa buah vesel nelayan tempatan (VNT) yang melakukan aktiviti perikanan di luar perairan perikanan Malaysia.

“Sebuah aset milik Maritim Malaysia, KM Malawali telah diatur gerak ke lokasi terbabit dan hasil pemeriksaan mendapati vesel tersebut dikendalikan seorang tekong serta dibantu tiga kru warga Myanmar berusia 26 hingga 45 tahun.

Maritim Perak tahan dua vesel pukat jerut, sebuah vesel pukat tunda
Sebahagian nelayan yang ditahan bersama vesel pukat jerut bilis di Pulau Jarak, semalam. Foto ihsan Maritim Perak

“Kesemua nelayan terbabit ditahan manakala bot, hasil tangkapan ikan seberat 600 kilogram (kg) serta peralatan menangkap ikan turut dirampas.

“Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu berada di luar perairan perikanan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan gagal mengemukakan kebenaran menggunakan kru warga asing.

“Selain itu, kes turut disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang diperakui,“ katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam serbuan berasingan, dua vesel pukat jerut bilis turut ditahan pada kedudukan kira-kira 0.1 batu nautika daripada selatan Pulau Pangkor sekitar jam 8.10 dan 8.20 malam tadi.

“Dua tekong warga tempatan dan 24 kru membabitkan warga tempatan, Myanmar dan Thailand berusia 25 hingga 71 tahun ditahan manakala bot, hasil tangkapan ikan bilis dengan anggaran 100kg serta peralatan menangkap ikan turut dirampas.

“Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu beroperasi kurang dari 1 batu nautika dari pantai atau daratan,“ jelasnya.

Beliau berkata, kesemua tangkapan dan barang rampasan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Maritim Perak tahan dua vesel tempatan langgar syarat sah lesen

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI