LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak berjaya menahan sebuah kapal kargo yang sedang bersauh tanpa kebenaran di kedudukan 13 batu nautika barat laut Pulau Jarak dekat sini semalam.
Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, kapal tersebut dikendalikan oleh seorang nakhoda warga Mesir bersama seorang kru dari Rusia, Ukraine (dua) dan Filipina (17).
Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati, kapal tersebut gagal mengemukakan surat kebenaran bersauh daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia dan tidak melaporkan ketibaan mereka di perairan Malaysia.
“Susulan itu, dua kru kapal telah dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Perak untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam insiden berasingan, beliau memaklumkan bot ronda Maritim Malaysia Perak telah menahan sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) yang didapati melanggar syarat sah lesen dengan menjalankan aktiviti perikanan di kawasan larangan.
“Selain itu, pemeriksaan lanjut mendapati dokumen pengenalan diri awak-awak vesel yang terdiri daripada tiga orang dari Myanmar termasuk tekong adalah diragui.
“Kes ini disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63, dengan vesel, hasil tangkapan, dan peralatan menangkap ikan turut dirampas bagi siasatanlanjut Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia,“ jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
TLDM, TNI-AL kawal keselamatan maritim menerusi Op Patkor Malindo