Maritim rampas 30 set bubu naga di perairan Perak

LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya merampas sebanyak 30 set bubu naga atau bubu kambang di perairan Negeri Perak, pada Ahad.

Bubu berkenaan dirampas pada kedudukan sekitar 1.5 batu nautika barat laut dari muara Sungai Beruas, kira-kira jam 4.05 petang.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohd Hambali Ya’akup berkata, bubu naga itu dikesan ketika pasukan bot rondaan melaksanakan Op Sayong, Op Pintas, Op Tanjung dan Op tiris di sekitar perairan negeri ini.

Katanya, ketika menyusuri kawasan berkenaan, pasukan bot rondaan Maritim Malaysia menjumpai pancang kayu yang mencurigakan pada permukaan air.

“Hasil tinjauan mendapati, pancang kayu berkenaan adalah penanda lokasi bubu naga yang dipasang oleh individu atau kumpulan yang tidak bertanggungjawab.

“Kesemua bubu naga itu dirampas dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut beliau, pemilik bubu berkenaan boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.

Jelas beliau lagi, penggunaan bubu itu mengakibatkan anak-anak ikan dan udang mudah untuk masuk ke perangkap jaring yang mana ia menjejaskan biodiversiti marin serta mengakibatkan hasil laut semakin berkurangan.

“Pemantauan dan risikan oleh Maritim Negeri Perak akan terus dijalankan dari semasa ke semasa bagi mengekang aktiviti penangkapan ikan menggunakan kaedah bubu naga daripada terus berleluasa.

“Orang ramai terutamanya komuniti maritim diseru agar terus berkongsi maklumat jika terlihat sebarang pelanggaran undang-undang di laut sebagai mata dan telinga pihak berkuasa,” ujar beliau. -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Maritim Malaysia rampas bubu naga berhampiran Pulau Talang

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI