LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menahan sebuah bot nelayan tempatan kerana melanggar syarat sah lesen di perairan negeri dekat sini, pada Khamis.
Bot nelayan kelas B itu ditahan pada kedudukan 2.6 batu nautika dari muara Sungai Rungkup, dekat sini pada jam 11.40 malam.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kapten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, bot itu dikesan ketika pihaknya sedang melakukan rondaan sekitar perairan negeri.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut dikendalikan oleh seorang tekong bersama seorang kru warganegara tempatan berumur 22 dan 43 tahun.
“Pemeriksaan lanjut mendapati, bot berkenaan tidak diusahakan sendiri dan juga disyaki telah melepaskan pukat ke dalam air sewaktu menyedari kehadiran bot ronda Maritim.
“Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen kerana tidak usaha sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.
Mohamad Shukri memberitahu, kedua-dua nelayan ditahan bersama bot, di samping peralatan menangkap ikan dirampas sebelum diserah kepada Maritim untuk tindakan lanjut.
“Komuniti maritim diingatkan untuk sentiasa mematuhi peraturan yang telah diwartakan kerajaan.
“Maritim tidak akan berkompromi mengenakan tindakan ke atas pesalah yang melakukan aktiviti menyalahi undang-undang,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Sebuah bot tempatan, tiga kru warga asing ditahan Maritim Perak