KAMPAR – Tiga cedera dalam kemalangan membabitkan lima buah kenderaan di Kilometer 291 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada orang awam sekitar jam 8.25 pagi.
Menurutnya, kemalangan tersebut melibatkan dua buah lori jenis Volvo dan Mitsubishi, dua buah trak pikap jenis Toyota Hilux dan sebuah kereta jenis Perodua Axia.
“Siasatan di lokasi mendapati, lori Volvo yang dipandu dari arah selatan ke utara itu dipercayai mengalami masalah brek sebelum melanggar bahagian belakang lori Mitsubishi.
“Pelanggaran itu menyebabkan tiga kenderaan lain gagal mengelak serta merempuh bahagian depan dan belakang kenderaan (bumper to bumper) masing-masing,“ katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Beliau berkata, kemalangan itu mengakibatkan dua wanita yang menaiki Toyota Hilux dan pemandu lori Mitsubishi mengalami kecederaan.
“Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,“ ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Kemalangan lori di PLUS: Laluan kembali dibuka, pemandu cedera ringan


