IPOH – Hubungan di peringkat akar umbi dalam Kerajaan Perpaduan di Tambun khususnya perlu diperbaiki bagi memastikan kestabilan politik dan kelancaran pentadbiran menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Tambun, Datuk Aminuddin Md Hanafiah berkata, meskipun hubungan di peringkat kepimpinan tertinggi Kerajaan Perpaduan berjalan lancar, namun hubungan di peringkat akar umbi masih memerlukan penambahbaikan.
“Kita di BN akan membantu setakat mana kita berupaya. Bagi hubungan di dalam Kerajaan Perpaduan, ini kita kena jujur. Hubungan di peringkat atas nampak lebih selesa dan lebih lancar.
“Di peringkat akar umbi, kita berada dalam kerajaan campuran. Sekiranya ada program-program yang melibatkan Kerajaan Perpaduan, kita akan menghantar wakil dan kita menyertai sekadar mana jemputan yang diberikan. Untuk menyatakan hubungan itu, akrab sangat pun tidak.
“Bagaimanapun, hubungan di peringkat akar umbi masih lagi ada ruang untuk diperbaiki,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sambutan Deepavali BN Tambun di Medan Klebang Restu, di sini pada Selasa.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi BN Tambun, Datuk Mazlan Abd Rahman.
Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan walaupun hubungan di peringkat bawah belum cukup erat, UMNO dan BN tetap menghormati keputusan pucuk pimpinan parti untuk terus menyokong Kerajaan Perpaduan.
“Fokus utama ketika ini adalah memastikan kestabilan politik negara supaya rakyat mendapat manfaat secara langsung daripada dasar kerajaan,“ ujarnya.
Aminuddin yang juga Setiausaha UMNO Perak turut mengakui bahawa hubungan antara parti-parti komponen baharu dalam Kerajaan Perpaduan berbeza dengan kerjasama yang pernah terjalin dalam BN suatu ketika dahulu.
“Tapi saya rasa ada ruang untuk diperbaiki menjelang PRU 16. Cumanya kita memerlukan komitmen daripada semua parti. Di peringkat akar umbi itu, seperti yang saya kata tadi, sama seperti dalam Kerajaan Perpaduan,” jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
BN terus pimpin kestabilan Perak bersama Kerajaan Perpaduan