KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi mengakui masih ramai ahli akar umbi parti itu belum menerima Kerajaan Perpaduan.
Sehubungan itu, katanya, dalam tempoh berbaki dua tahun lagi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16), UMNO mesti melakukan legitimasi keberadaannya dalam kerajaan hari ini.
Beliau turut bersetuju dengan pandangan UMNO mesti dilihat serius melakukan regeneration (proses peremajaan) di dalam parti.
Malah adalah wajar UMNO bergerak solo pada PRU-16 menggunakan logo Barisan Nasional (BN) tetapi meneruskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dengan memastikan tidak berlakunya pertindihan kerusi.
“Akhirnya kalau mahu diteruskan kerajaan perpaduan ini, kerjasama politik mesti diperluaskan dalam konteks policy consensus dan negosiasi “kuasa Perdana Menteri”,” katanya menerusi laman sosial Facebook malam tadi.
Sementara itu, Mohd Puad berpandangan, UMNO memerlukan tempoh dua abad atau 20 tahun untuk bangkit semula sejak BN kehilangan kuasa pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) pada 2018.
Jelasnya, kini selepas tujuh tahun berlalu, UMNO mempunyai antara 10 hingga 12 tahun lagi untuk bangkit dan tempoh itu disifatkan tidak terlalu lama.
“Apakah terdapat tanda tanda UMNO dalam proses kebangkitan?
“Memang ada. UMNO telah melepasi tempoh pembantaian dendam politik. UMNO cuba dihapuskan melalui penubuhan Bersatu.
“Pemimpin Umno didakwa secara terpilih. Aset dibeku supaya UMNO lumpuh. MP dan ADUN UMNO lari termasuk yang menikam dari belakang. Semua itu diatasi,” katanya.
Tambah beliau, UMNO kini juga sudah kembali dalam kerajaan walaupun berkongsi kuasa bermula dengan Perikatan Nasional (PN) dan kini Kerajaan Perpaduan.
Jelasnya, berada dalam kerajaan sebenarnya memberi ruang kepada UMNO untuk bernafas dan bangkit semula malah menyifatkan UMNO memilih langkah strategik yang bijak di bawah kepimpinan Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
“Saya setuju dalam tempoh itu UMNO perlu kukuhkan akar umbinya. Kuasai naratif negara. Menteri UMNO mesti dilihat perform. Dan perkasakan sayap sayap parti,” katanya. – MalaysiaGazette