KUALA LUMPUR – Masih terlalu awal untuk kerajaan menilai semula Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS) susulan keputusan Mahkamah Agung AS berhubung pelaksanaan tarif di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa (IEEPA).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan tarif timbal balas itu masih belum berkuat kuasa dan dalam perjanjian sedia ada tiada proses ratifikasi.
“Keputusan itu masih awal iaitu 20 Februari lalu, satu keputusan agak serius dan harus diberikan perhatian kerana Mahkamah Agung AS telah menyatakan pengenaan tarif timbal balas di bawah IEEPA oleh Presiden Donald Trump tidak sah dari segi undang-undang.
“Tentunya bukan sahaja Malaysia tetapi semua negara sedang memantau dari dekat, cuma kita harus ambil perhatian iaitu perjanjian Malaysia-AS ini masih belum berkuat kuasa.
“Sehingga semalam, AS masih belum mencadangkan tarikh untuk ratifikasi, jadi masih tertangguh di situ,” katanya pada sesi jawapan menteri dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid meminta Perdana Menteri menyatakan pendirian rasmi kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Agung AS yang mengisytiharkan tarif yang diperkenalkan Trump sebagai tidak sah dan sejauh mana implikasinya terhadap hubungan perdagangan Malaysia-AS.
Anwar juga berkata, kerajaan perlu menunggu sebarang kemungkinan termasuk langkah-langkah Trump untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Agung AS.
“Apakah kita tunggu sehingga selesai? Kita sentiasa pantau. Kita juga tahu bahawa presiden AS mungkin menggunakan Seksyen 122 IEEPA, jadi kita belum tahu.
“Kemudian apakah Kongres AS akan bersetuju dengan keputusan Mahkamah Agung AS atau berbeza pendapat, itu pun masih belum dipastikan.
“Perintah eksekutif ini kesan sementara itu bagi Malaysia itu baik kerana dia turun kepada 15 peratus dari 19 peratus, tapi ini hanya berkuatkuasa 150 hari,” katanya yang juga Menteri Kewangan.
Sementara itu, Perdana Menteri menegaskan, kerajaan akan meneruskan perdagangan dua hala dan tidak mahu mengambil tindakan gopoh hingga menjejaskan kepentingan negara.
“Dari sudut perdagangan, kita terus dari peringkat sekarang kerana apa yang kenakan sebelum ini, tidak kepada syarikat Malaysia, (tetapi) syarikat AS yang melabur, jadi dikenakan itu melibatkan syarikat mereka.
“Ini kerana eksport Malaysia ke AS adalah RM233.1 bilion, ini terlalu tinggi dan perdagangan dua hala Malaysia-AS iaitu berjumlah RM367.5 bilion, jadi kita kena lihat kepentingan umum.
Bagaimanapun Perdana Menteri bersetuju dengan gesaan agar kerajaan harus memantau dari dekat mengenai sejauh mana kesannya dan kemungkinan tindakan susulan oleh presiden AS.
“Apakah ada lagi peruntukan-peruntukan yang akan digunakan untuk mengelak daripada pentafsiran Mahkamah Agung AS dan bagaimana pendirian Kongres AS dalam masa terdekat.
“Jadi perintah eksekutif tentang tarif global baharu ini bagi saya harus dipantau dari dekat dan melihat dari segi kepentingan ekonomi Malaysia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette


