IPOH – Masjid-masjid di Perak akan menjadi pusat pelaksanaan program berkaitan kelestarian alam sekitar, pendidikan kesihatan dan keselamatan makanan bertujuan mengimarahkan institusi itu serta memberi manfaat kepada komuniti setempat.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata, ia susulan titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin semasa perlantikan ahli-ahli majlis MAIPk bagi penggal 2026-2027 baru-baru ini.
Menurutnya, sebelum ini Sultan Nazrin menekankan tiga perkara utama dalam usaha memacu pembangunan masjid di Perak.
“Keutamaan pertama adalah kelestarian alam sekitar dan kedua ialah mengimarahkan masjid melalui program pendidikan, keselamatan makanan dan kesihatan.
“Ketiga, tuanku menegaskan supaya program bersesuaian diadakan untuk anak muda supaya lebih ramai datang mengimarahkan masjid,” katanya.
Beliau berkata pada sidang media selepas menghadiri Persidangan MAIPk kali ke-235 di Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Syamsul Hazeman Md Salleh; Pengarah JAS Perak, Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh dan Pengarah Jabatan Pertanian Perak, Norsiyenti Othman.
Dalam pada itu, Mohd Annuar berkata, dalam tempoh tiga bulan akan datang sekurang-kurangnya dua masjid di setiap daerah dijadikan pusat aktiviti mengitar semula barangan buangan seperti pakaian terpakai serta sisa lain.
“Kita letakkan KPI (petunjuk prestasi utama) kepada JAIPk Jabatan (JAIPk) supaya program ini dapat dilaksanakan dalam keadaan lebih teratur,” ujarnya.
Katanya, pada mulanya program kelestarian alam sekitar hanya akan melibatkan 60 masjid tetapi jumlah bertambah menjadi 120 masjid dengan sokongan dana wakaf.
“Program ini bertujuan untuk mengurangkan penggunaan plastik sekali pakai, menggalakkan aktiviti kitar semula, serta memupuk amalan pelupusan sisa yang bertanggungjawab.
Beliau berkata, titah Sultan Perak turut menekankan aspek kesihatan dengan menyarankan supaya masjid mengubah amalan jamuan yang lazimnya diadakan selepas solat Isyak kepada sebelum waktu Maghrib.
“Sebab kalau kita lihat laporan obesiti yang keluar baru-baru ini mereka yang mempunyai berat badan masih budak sekolah dan jumlahnya semakin meningkat.
“Jadi kita telah menasihatkan supaya JAIPK selepas ini mengeluarkan arahan kepada masjid-masjid untuk mengadakan jamuan sebelum Maghrib supaya selepas isyak jemaah boleh pulang,” jelasnya.
Sementara itu, Mohd Annuar berkata, pelbagai aktiviti yang dapat menarik minat anak muda, termasuk sukan elektronik (e-sport) di samping program lain yang bersesuaian. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Masjid, surau di Perak disaran sedia makanan percuma harian


