Masjid kedua tertua Perak kekal kukuh di Lenggong

LENGGONG – Selain terkenal sebagai Tapak Warisan Dunia, Lembah Lenggong turut menjadi antara saksi terawal penyebaran dan perkembangan syiar Islam di Negeri Perak.

Menjengah usia 484 tahun, Masjid Raja yang terletak di Kampung Chepor, dekat sini, merupakan masjid kedua tertua di Perak selepas Masjid Kampung Pachat di Manong, Kuala Kangsar.

Menurut penduduk tempatan, masjid yang mampu memuatkan sekitar 100 jemaah itu pernah menjadi nadi kepada perkembangan Islam di kawasan sekitarnya.

Masjid Raja Kampung Chepor masjid kedua tertua Perak, masjid bersejarah di Lenggong, sejarah Islam di Perak, masjid warisan Melayu, seni bina masjid tradisional, masjid tertua di Malaysia
Struktur asal Masjid Raja Kampung Chepor dibina di atas tanah mengandungi endapan debu letusan Gunung Berapi Toba, Indonesia ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Chepor, Lenggong. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 01 JULAI 2025.

Meskipun sebuah masjid baharu, iaitu Masjid Rahmaniah, telah dibina berhampiran sekitar tahun 2005, namun Masjid Raja masih terus digunakan bagi aktiviti keagamaan.

Difahamkan, selain penduduk Kampung Chepor sendiri, Masjid Raja pernah menjadi lokasi utama Solat Jumaat bagi penduduk kampung sekitar seperti Kampung Luat, Kampung Beng, Kampung Bukit Sapi dan Kampung Labit.

Daripada sudut sejarah, Masjid Raja dipercayai dibina oleh tokoh tempatan di Hulu Perak, iaitu Tun Saban dan Tun Puteh, yang merupakan anak kepada Bendahara Melaka, Tun Perak.

Masjid Raja Kampung Chepor masjid kedua tertua Perak, masjid bersejarah di Lenggong, sejarah Islam di Perak, masjid warisan Melayu, seni bina masjid tradisional, masjid tertua di Malaysia
Mimbar kayu menjadi komponen penting Masjid Raja Kampung Chepor, yang juga dipercayai berusia ratusan tahun ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Chepor, Lenggong. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 01 JULAI 2025.

Berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada laman sesawang Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, masjid tersebut siap dibina pada tahun 1541.

“Pembinaan masjid ini adalah bagi menjunjung titah Sultan Perak pertama, Sultan Muzaffar Shah I, yang menitahkan agar setiap kampung mempunyai masjid.

“Dua beradik itu membinanya sekitar tahun 1539, dikenali sebagai Masjid Raja Kampung Chepor dan siap sepenuhnya pada tahun 1541,” menurut kenyataan di laman itu.

Masjid Raja Kampung Chepor masjid kedua tertua Perak, masjid bersejarah di Lenggong, sejarah Islam di Perak, masjid warisan Melayu, seni bina masjid tradisional, masjid tertua di Malaysia
Masjid Raja Kampung Chepor masih mengekalkan sehingga kini empat tiang kayu cengal emas yang menyangga bumbung utama di ruang solat ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Chepor, Lenggong. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 01 JULAI 2025.

Struktur asal masjid ini dibina di atas tanah mengandungi endapan debu letusan Gunung Berapi Toba, Indonesia, yang berlaku kira-kira 74,000 tahun dahulu, dan secara tidak langsung bertindak sebagai konkrit semula jadi.

Selain daya ketahanan, masjid ini juga menampilkan kehalusan seni bina Melayu awal yang dipengaruhi budaya tempatan dan alam Nusantara.

Daripada struktur utama sehingga ke elemen ukiran, reka bentuk Masjid Raja dipercayai mengandungi pengaruh masyarakat Melayu dari Riau, Sumatera, Minangkabau, Deli dan Langkap.

Masjid Raja Kampung Chepor menampilkan kehalusan seni bina Melayu awal yang dipengaruhi budaya tempatan dan alam Nusantara ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Chepor, Lenggong. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 01 JULAI 2025.

Antara tinggalan binaan asal yang masih kekal hingga kini ialah empat tiang kayu cengal emas yang menyangga bumbung utama di ruang solat.

Difahamkan, pada zaman dahulu, atap masjid ini diperbuat daripada daun rumbia manakala dinding pula menggunakan teknik anyaman kelarai buluh yang bertindak sebagai penebat haba semula jadi.

Satu lagi komponen penting ialah mimbar kayu di dalam masjid, yang juga dipercayai berusia ratusan tahun.

Keunikan seni bina dan nilai sejarahnya menjadikan Masjid Raja Kampung Chepor sebagai salah satu tarikan pelancong dari dalam dan luar negara apabila berkunjung ke Lenggong.

Masjid berkenaan turut tersenarai antara lokasi menarik dalam peta pelancongan  ‘Fun Map World Heritage Site Lenggong’ yang diterbitkan Majlis Daerah Lenggong.

Pengunjung yang datang ke Masjid Raja Kampung Chepor boleh melihat sendiri keunikan seni bina yang masih kekal menjadi simbol warisan serta peradaban Melayu-Islam ratusan tahun lamanya. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Masjid Jamek Ar-Ridzuan lambang kesepaduan masyarakat Islam

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI