TANJUNG MALIM – Masjid di seluruh negara disaran untuk melaksanakan konsep masjid hijau agar ia mampu menjadi pusat kelestarian alam sekitar dalam memupuk budaya hijau oleh semua ahli kariah.
Dalam satu kenyataan, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Nor Yahati Awang berkata, usaha itu juga dilihat dapat menyumbang ke arah Malaysia yang lebih hijau dan mampan.
“premis masjid yang sedia ada dianggap sebagai cekap air, cekap tenaga dan rendah karbon, malah mesra alam dalam mengurangkan impak kepada persekitaran seperti pencemaran dan pelepasan gas rumah hijau.
“Gaya hidup hijau sebegini, bukan sahaja mendatangkan manfaat seperti penjimatan kos utiliti bahkan meningkatkan produktiviti masyarakat dan pendekatan teknologi hijau boleh dimanfaatkan dengan optimum,” katanya.
Kenyataan itu dikongsi bersempena dengan Karnival Masjid Bestari anjuran Masjid Al-Hidayah, Bandar Behrang 2020, di sini, baru-baru ini.
Program berkenaan dianjurkan dengan kerjasama Malaysia Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) dan Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS).
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif MGTC, Ir. Ts. Shamsul Bahar Mohd Nor; Timbalan Pengarah Akademik PSAS, Ts. Salhana Sahidin@Salehudin; Ketua Jabatan Kejuruteraan Elektrik PSAS, Saiful Adli Yusof serta Timbalan Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Ghazali Din.
Dalam pada itu, Nor Yahati menerusi kenyataan sama berkata, pihaknya mengalu-alukan sumbangan dan kolaborasi semua pihak agar inisiatif masjid hijau dapat dikembangkan kerana ia membantu ke agar agenda kelestarian alam.
“Masjid boleh melaksanakan program masjid hijau setiap tahun atau setahun dua kali kerana ramai orang Islam yang berkemampuan ingin menyumbang secara sukarela kepada masjid.
“Sebagai contoh, projek penukaran lampu, penghawa dingin yang cekap tenaga, pemasangan sistem panel solar, pemasangan bilik cekap air, projek kitar semula serta pembangunan komuniti oleh pihak masjid boleh dimanfaatkan daripada wang sumbangan ahli jemaah atau masyarakat Islam,” katanya.
Sementara itu, mengulas tentang program, pengarahnya Fauzi Ghani berkata, antara aktiviti yang dijalankan dalam Karnival Masjid Bestari ini seperti solat berjemaah, kuliah, dan qiamullail, pertandingan mewarna kanak-kanak, pertandingan memanah, dan sebagainya.
Beliau berharap program seumpama itu dapat memperkasakan peranan masjid dan membentuk minda ahli kariah supaya agar lebih berminat untuk mengimarahkan masjid.
“Menerusi program ini, pelajar dan komuniti setempat didedahkan dengan program kesedaran kesihatan oleh Klinik Kesihatan Tanjung Malim, dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan termasuk Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA) untuk memberi informasi kesihatan,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan: