IPOH – Disebalik kemeriahan Deepavali bakal disambut pada Isnin, masyarakat India di Perak turut mengharapkan Belanjawan Negeri 2026 yang akan dibentangkan nanti dapat memberi sinar cahaya buat mereka.
Bagi peniaga muda, Jaspreet Kaur, 25, pembentangan belanjawan negeri pada kali ini diharap dapat memberi tumpuan kepada golongan belia terutama yang mahu mula menceburi dalam bidang perniagaan.
Katanya, walaupun ramai anak muda masyarakat India yang berusaha untuk mencari rezeki selepas tamat pengajian, namun mereka masih berdepan kekangan seperti dari segi bantuan modal dan tapak berniaga.
“Saya rasa elok kalau kerajaan negeri boleh sediakan lebih banyak inisiatif dan geran untuk anak muda yang mahu berniaga, khususnya seperti bantuan gerai kecil untuk menjual makanan dan sebagainya.
“Beberapa hal birokrasi adakala menyukarkan kami, dan oleh itu jika dapat ditambah baik atau memperbanyakkan lagi bantuan untuk usahawan muda India, ia disambut baik” katanya ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak di Little India, Jalan Lahat, dekat sini, pada Ahad.
Sementara itu, pekerja swasta, K. Thamarai, 34, berharap Belanjawan Negeri Perak 2026 turut memberi penumpuan kepada isu perumahan mampu milik, khususnya bagi golongan berpendapatan sederhana.
Menurutnya, harga rumah ketika ini disifatkan masih tinggi, terutama bagi mereka yang berpendapatan sekitar RM2,000 hingga RM3,000 sebulan.
“Saya harap kerajaan negeri boleh mempermudahkan proses pemilikan rumah dan turunkan harga rumah supaya anak-anak muda boleh memiliki rumah.
“Harga rumah di pasaran ketika ini masih mahal ditambah pula dengan bebanan kos sara hidup terutama bagi mereka yang sudah berkeluarga,” ujarnya.
Selain itu Thamarai turut mencadangkan supaya projek rumah mampu milik, Rumah Perakku, dapat dibangunkan lagi di kawasan bandar dan pinggir bandar seperti, Buntong dan Menglembu, bagi menampung permintaan masyarakat India yang tinggal di kawasan tersebut.
Pada masa sama, bagi usahawan di Little India, Datuk Dr M Paramasivan, 58, Belanjawan Negeri 2026 kali ini diharap dapat memperkukuh semula ekonomi komuniti peniaga tempatan yang terkesan akibat ketidaktentuan pasaran.
Katanya, kebanyakan peniaga kecil di kawasan itu bergantung pada jualan pada musim perayaan seperti Deepavali bagi menampung kos operasi perniagaan serta sewaan premis.
“Kami dapat meraih sedikit keuntungan pada musim Deepavali namun faktor cuaca seperti hujan adakala memberi cabaran kepada peniaga di sini untuk mencari rezeki.
“Justeru saya berharap agar kerajaan negeri dapat terus memberi sokongan kepada peniaga terutama di Little India, sama ada melalui peruntukan khas atau promosi pelancongan,” ujarnya yang sudah hampir 30 tahun berniaga di situ.
Namun Paramasivan yakin bahawa kepimpinan kerajaan negeri di bawah Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dapat membawa harapan kepada masyarakat India secara amnya.
“Saya suka dengan gerak kerja Menteri Besar sekarang sebab beliau ambil tahu apa masalah rakyat. Beliau dengar dan akan cari jalan terbaik untuk selesaikan dengan cara tersusun,” katanya lagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Rakyat mohon peruntukan tambahan HEBI atas faktor ekonomi