KEINDAHAN flora dan fauna di Taman Negeri Royal Belum di Gerik dalam daerah Hulu Perak cukup memukau bagi sesiapa yang menjejak kaki ke hutan hujan yang berusia 130 tahun itu.
Tasik Temenggor seluas 152 kilometer persegi yang menjadi pelengkap kepada keindahan rimba tua itu pula merupakan tasik kedua terbesar di Semenanjung Malaysia selepas Tasik Kenyir di Terengganu.
Selain itu, terdapat beberapa kawasan penempatan atau perkampungan masyarakat Orang Asli yang menjadikan tasik buatan manusia itu sebagai nadi kehidupan.
Kampung Kelewang antara kampung Orang Asli yang sering menjadi lokasi kunjungan pelancong baik dari dalam mahupun luar negara apabila mereka bertandang ke Royal Belum.
Pemandangan ketika dalam perjalanan menggunakan bot menuju ke kampung berkenaan pastinya akan tertambat dengan keindahan rumah-rumah yang dibina menggunakan bahan semula jadi.
Rumah dan balai adat di Kampung Kelewang itu dibina daripada buluh serta beratapkan daun bertam dan tepus
Walaupun jauh daripada bandar, namun suasana di Kampung Kelewang sememangnya nilai tambah yang menjanjikan ketenangan tatkala ia dilatari dengan pemandangan bukit-bukau yang menghijau.
Tok Batin Kampung Kelewang, Zamri Libis berkata, kampung berkenaan didiami 47 keluarga yang kesemuanya dari Suku Jahai, iaitu satu daripada Suku Kaum Negrito.
Katanya, sebahagian besar penduduk di Kampung Kelewang menyara hidup sebagai nelayan darat dan memungut hasil hutan.
“Kebanyakkan kami di sini menyara hidup melalui aktiviti perikanan, yang mana ikan-ikan diperoleh di Tasik Temenggor ini kemudiannya dibawa kepada peraih di jeti (Jeti Awam Pulau Banding) sebelum kemudian dijual ke Pekan Gerik dan sekitar.
“Malah aktiviti pelancongan juga menjadi sebahagian daripada sumber pendapatan kami di sini. Kami menjual hasil-hasil hutan antaranya madu tualang kepada pelancong yang berkunjung ke kampung kami,” katanya kepada MG Perak.
Menurut Zamri, antara produk hasil hutan yang dijual di Kampung Kelewang termasuk produk anyaman, tumbuhan herba hutan, serta tongkat kayu yang boleh digunakan ketika aktiviti kembara bukit atau hutan.
“Antara aktiviti yang boleh dilakukan pelancong di kampung kami adalah mencuba sendiri melakukan demonstrasi menyumpit di kawasan lapang.
“Namun sekiranya cuaca tidak baik, aktiviti berkenaan juga boleh dilakukan di balai adat kami yang turut dibina dengan menggunakan buluh,” katanya lagi.
Tambah Zamri, penduduk kampung menyifatkan kehadiran pelancong ke Kampung Kelewang sebagai satu kebanggaan tatkala perjalanan ke penempatan mereka dari Jeti Awam Pulau Banding memakan masa lebih sejam.
Pesona Kampung Kelewang
Menceritakan lanjut tentang masyarakat di situ, beliau berkata, walaupun penduduk menganut agama Islam, Kristian dan kepercayaan nenek moyang, kehidupan di kampung berkenaan tetap harmoni.
Kata beliau lagi, dari segi aspek pendidikan, kesemua kanak-kanak di kampung itu mendapat pendidikan formal di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiang yang memakan masa 20 minit perjalanan pergi dan pulang menggunakan bot.
“Walaupun kampung kami jauh di pedalaman, namun kami tetap mendapat perhatian daripada kerajaan melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) yang menyalurkan bantuan kotak makanan dan kewangan.
“Selain itu, kampung kami turut disediakan bot yang dijadikan sebagai ambulans bagi kegunaan ketika hal-hal kecemasan seperti membawa ibu mengandung ke jeti untuk dihantar ke Hospital Gerik,” ujarnya.
Oleh itu, Zamri berharap penduduk Kampung Kelewang dapat terus dibangunkan serta merasai limpahan nikmat khususnya melalui pembangunan sektor pelancongan di Royal Belum.
Jelas beliau, pihaknya merancang untuk membangunkan tapak-tapak perkhemahan dan chalet agar pelancong boleh bermalam di kampungnya pada masa akan datang.
Di bawah Niche Daerah Pelan Perak Sejahtera 2030, Hulu Perak merupakan daerah yang berpotensi dalam sektor warisan dan eko-pelancongan di samping memperkasakan ekonomi berteraskan biodiversiti. – MG Perak
Artikel Berkaitan: