Maut terkena sabit: Pekerja ladang sawit dituduh sebabkan kematian

TELUK INTAN – Seorang pekerja ladang sawit warga Indonesia dihadapkan ke  Mahkamah Majistret Teluk Intan pada Rabu atas dua pertuduhan menunggang motosikal secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan terhadap dua remaja lelaki minggu lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan ke atas Sutiyono, 39, dibacakan jurubahasa bahasa Melayu di hadapan Naidatul Athirah Azman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah menunggang motorsikal jenis Honda EX5 dengan cara berbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian kepada penunggang motosikal jenis Honda Vario, Adham Faisal, 18.

Selain itu, lelaki berkenaan turut didakwa menunggang motosikal sama dengan cara berbahaya kepada orang awam dan menyebabkan kecederaan kepada Muhammad Mu’ammar Ismail, 18.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Lorong Haji Abdul Rashid Kampung Selabak Teluk Intan dalam daerah Hilir Perak, pada jam 8.10 pagi, 9 Mac 2026.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 41 (1) serta Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan boleh dihukum di bawah akta yang sama.

Bagi kesalahan pertama, jika sabit kesalahan dia boleh dihukum penjara dalam tempoh antara lima hingga 10 tahun, dan denda antara RM20,000 hingga RM50,000.

Kesalahan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 pula, jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga lima tahun, dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000.

Bagi kedua-dua pertuduhan, lelaki itu juga bakal berdepan hukuman hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama tidak kurang daripada lima tahun dari tarikh sabitan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Darwis Aghniya Halim Azizi manakala tertuduh diwakili peguam probono, Francis Sinnappan.

Pihak pendakwa menawarkan tertuduh jaminan sebanyak RM8,000 dengan dua orang penjamin warganegara Malaysia, dan salah seorangnya harus terdiri daripada majikan tertuduh.

Francis pula memohon mahkamah mengenakan wang jaminan minimum memandangkan tertuduh menanggung seorang anak dan ibu bapa di Indonesia hasil kerja sebagai buruh ladang sawit di sini.

Mahkamah juga diberitahu bahawa tertuduh yang memiliki pas lawatan kerja yang akan tamat pada 2 Mei itu mempunyai masalah pendengaran.

Naidatul Athirah kemudian menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 kepada tertuduh dengan ia perlu dijamin dua individu warganegara Malaysia, dan seorang adalah majikannya, selain lesen digantung sehingga kes selesai.

28 April ditetapkan sebagai tarikh serahan dokumen dan laporan bedah siasat, serta mahkamah turut mempertimbangkan untuk memanggil jurubahasa isyarat dan Bahasa Indonesia. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

Pelajar kolej vokasional maut terkena sabit

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI