TELUK INTAN – Hasrat seorang remaja perempuan untuk menyambung pelajaran ke Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) tidak kesampaian apabila meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Ipoh-Lumut, Rabu lalu.
Allahyarhamah Norkiasatina Najwa Shahrel Azwan, 18, meninggal dunia selepas motosikal yang ditunggangnya terlanggar lubang lalu hilang kawalan sebelum digilis sebuah kereta.
Bapanya Shahrel Azwan Sulaiman, 45, berkata, anak sulung daripada empat beradik itu sepatutnya mendaftar sebagai pelajar Diploma Kejuruteraan Elektronik (Elektrik) di PSAS pada 29 Julai depan.
Menurutnya, segala persiapan termasuk kelengkapan bagi kegunaan menyambung pelajaran anak perempuannya itu sudah disediakan bersama isterinya Norizad Md Yusof, 45.
“Saya dan isteri masih lagi terkejut kerana kakak menunjukkan reaksinya begitu gembira untuk menyambung pelajaran ke politeknik, tetapi hasrat itu tidak kesampaian.
“Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan dan dia seperti biasa sahaja, jadi bila menerima berita pemergiannya saya dan isteri masih terkejut namun kami redha,” katanya ketika ditemui di kediaman mereka di Kampung Bahagia, di sini, pada Jumaat.
Sementara itu, Norizan yang juga guru subjek matematik berkata, dia tidak dapat menahan sebak melihat barang-barang keperluan arwah anaknya yang mereka belikan untuk ke PSAS.
“Barang arwah ke politeknik diletakkan di dalam bilik, bila masuk dan lihat saya teringat, jadi saya minta orang lain kemas dan simpankan,” katanya.
Shahrel Azwan turut berkongsi detik dia menerima perkhabaran yang menimpa anak sulungnya itu dengan penuh sebak sambil ditemani isterinya di sebelah.
Jelasnya dia dimaklumkan oleh Norkiasatina Najwa untuk menemani kawannya membeli barang sebelum dikhabarkan anaknya itu terlibat dalam kemalangan
“Semasa kejadian saya baharu sahaja sampai Teluk Intan dari Ipoh sebelum adik saya menelefon isteri memaklumkan kakak kemalangan dan berada di Hospital Batu Gajah.
“Bila tahu sahaja terus saya bergegas ke sana dan jenazah kakak cedera di muka, kepala, kaki kanan patah, tangan patah dan badan-badan calar.
“Polis juga turut menceritakan kereta tersebut naik atas badan kakak,” katanya sambil menahan sebak.
Shahrel Azwan berkata, jenazah Norkiasatina Najwa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bahagia selepas Zohor pada Khamis.
Terdahulu MG Perak melaporkan seorang remaja wanita maut digilis sebuah kereta selepas motosikal ditunggangnya terlanggar lubang di bahu jalan sebelum hilang kawalan di Lebuhraya Ipoh-Lumut.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, mangsa berusia 18 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Batu Gajah. -MG Perak
Artikel Berkaitan: