GERIK – Polis menemui mayat seorang bayi di persisiran Sungai Air Kala, Selat Pagar di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Abdul Samad Othman berkata, pihaknya menerima makluman daripada orang awam berhubung penemuan itu pada jam 2.15 petang.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik bergegas ke lokasi kejadian dan menemui mayat bayi tersebut.
“Setakat ini, jantina serta bangsa bayi itu masih belum dapat dikenal pasti,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Menurutnya, mayat bayi berkenaan telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk dibedah siasat.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang mayat secara sulit,“ jelasnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Mayat bayi perempuan baru lahir ditemukan dalam beg di tepi sungai