IPOH – Sembilan individu yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang wanita dalam kenderaan suspek yang menikam dan menembak anggota polis di Simpang Pulai, dekat sini, ditahan reman selama tujuh hari mulai Isnin.
Perintah tahanan reman tersebut dikeluarkan Majistret Anis Hanini Abdullah ke atas suspek berusia antara 30 hingga 70 tahun dalam prosiding yang dijalankan di Mahkamah Majistret Ipoh.
Terdahulu, kesemua suspek dibawa masuk ke kamar mahkamah dengan diiringi anggota polis sehingga proses permohonan reman selesai.
Difahamkan, siasatan ke atas seorang suspek wanita dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, sementara lapan suspek lelaki pula akan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Pada Ahad media melaporkan, enam individu termasuk seorang wanita yang dipercayai mempunyai hubungan kekeluargaan ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat dalam kenderaan lelaki yang menikam dan menembak seorang anggota polis.
Dalam kejadian pada jam 1.15 pagi itu, seorang anggota polis cedera selepas ditikam dan ditembak seorang lelaki ketika menjalankan tugasan Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) di kawasan Simpang Pulai.
Hasil pemeriksaan pada kenderaan yang dipandu suspek menemukan mayat seorang wanita di bahagian tempat duduk belakang kenderaan, manakala suspek melarikan diri bersama pistol milik anggota polis.
Proses bedah siasat ke atas mayat wanita berusia 62 tahun itu mendapati punca kematian mangsa akibat kelemasan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Anggota polis cedera ditembak dan ditikam, mayat wanita ditemukan di lokasi