TAPAH – Satu mayat lelaki tanpa identiti dipercayai dibunuh ditemukan di bawah tebing setinggi 15 meter (m) berhampiran jalan raya di Kampung Batu 23, Jalan Pahang dekat sini, pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Johari Yahya berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan penemuan itu daripada orang awam sekitar jam 12.43 tengah hari.
Katanya, pihak polis yang tiba di lokasi mendapati mangsa lengkap berpakaian baju T putih dan berseluar pendek hitam selain dipercayai berusia dalam lingkungan 30an.
“Pegawai perubatan dari Hospital Tapah telah hadir mengesahkan kematian lelaki tersebut
“Pasukan Unit Forensik dan anjing pengesan (Unit K9) daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Persk turut hadir, namun tiada sebarang dokumen mangsa ditemukan di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Ujar Johari, pasukan Bomba Tapah turut berada di lokasi membantu bawa naik mangsa daripada cerun ke tepi jalan.
Kata beliau lagi, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk dijalankan proses bedah siasat pada Ahad.
“Hasil bedah siasat mendapati mangsa telah dipukul dengan objek tumpul yang mana terdapat kesan lebam pada bahagian belakang badan, dan kedua-dua tangan dan kaki mangsa.
“Cap jari lelaki terbabit telah diambil untuk mendapatkan identiti. Kes telah disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Justeru beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian itu diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di talian 05-4011222.
“Pihak polis juga memberi amaran dan menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dengan sebarang kegiatan yang melanggar undang-undang serta boleh menimbulkan kegusaran awam,” tambah beliau. – MG Perak
Artikel Berkaitan: