IPOH – Mayat lelaki yang dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjun lombong berhampiran Kampung Dato Ahmad Said Tambahan 3, Manjoi di sini semalam, berjaya ditemui hari ini.
Dalam kejadian 8.25 semalam, lelaki berusia 43 tahun dipercayai terjun dan dikhuatiri lemas sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, menurut saksi, mangsa dipercayai terus terjun dan tidak mempedulikan panggilan orang awam untuk naik ke darat.
Katanya, mangsa dilaporkan terus berenang ke tengah lombong dan kemudian hilang dari pandangan.
“Mangsa telah dijumpai terapung lima meter dari tebing oleh pasukan pencarian yang melakukan pencarian dasar menggunakan sebuah bot pada jam 7.26 pagi ini.
“Ketua operasi bertindak mengarahkan anggota mengangkat mangsa ke tebing lombong menggunakan pengusung dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, operasi tamat sepenuhnya pada jam 8.11 pagi. – MG Perak
Artikel Berkaitan: