LUMUT – Mayat seorang lelaki dalam keadaan reput ditemukan terapung di sungai berhampiran Jambatan Kampung Lubuk, Changkat Keruing, Pantai Remis dekat sini pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, pihak polis Pondok Changkat Keruing, Pantai Remis telah terima panggilan daripada orang awam, memaklumkan penemuan mayat lelaki tanpa identiti itu sekitar jam 5.30 petang.
“Siasatan awal pihak polis di tempat kejadian mendapati mayat lelaki tersebut ditemukan dalam keadaan terapung, separuh bogel dan hanya berbaju t warna biru bertulisan ‘Prada‘, tanpa seluar serta tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai pada mangsa.
“Operasi untuk mengangkat mayat itu telah berjaya dilakukan dengan bantuan pihak bomba Pantai Remis,“ katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan pegawai perubatan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh pada Jumaat lalu mengesahkan punca kematian mangsa disebabkan kecederaan di kepala akibat hentakan objek tumpul.
“Sehubungan itu, kes diklasifikasikan dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,“ ujarnya.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintenden Mohd Azalan Ab Karim di talian 019-392 7837 dan juga bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di talian 05-688 6222 atau talian hotline WhatsApp 017-682 8005 bagi membantu siasatan. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Mayat lelaki warga Myanmar ditemui terapung di Tanjung Bayan


