IPOH – Mayat seorang lelaki lengkap berpakaian yang sudah membusuk dan berulat ditemui dalam kereta di sebuah premis di Pasir Puteh di sini, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mayat itu sekitar jam 11.51 pagi.
Menurutnya, hasil siasatan awal di lokasi mendapati mayat lelaki yang masih belum dikenal pasti identiti itu dijumpai dalam kereta jenis Proton Saga berwarna hitam.
“Mayat mangsa ditemui terbaring di tempat duduk belakang dalam keadaan pintu berkunci dari dalam.
“Pemeriksaan lanjut yang dijalankan selepas pintu kereta dibuka mendapati tiada sebarang unsur jenayah ditemukan pada mangsa.
“Selain itu, pemeriksaan yang dijalankan ke atas mangsa tidak dapat dilakukan kerana mayatnya telah hitam dan berulat,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Katanya, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bagi mendapatkan cap jari dan mangsa akan dibedah siasat pada Isnin ini. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Mayat wanita bogel tanpa kepala, kaki, tangan ditemui dalam tong sampah