MB Perak gesa tanah wakaf masjid, surau segera didaftarkan

IPOH –  Semua masjid dan surau di Perak perlu mendaftarkan tanah wakaf masing-masing di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) bagi mengelak isu pertikaian hak milik institusi ibadah tersebut.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, selain masjid dan surau, saranan itu turut melibatkan sekolah agama rakyat di sekitar Perak.

Ujar beliau, masih banyak masjid lama yang dibina atas tanah wakaf individu tidak didaftarkan secara rasmi dengan MAIPk, sekali gus berisiko dituntut waris pewakaf atau dijual kepada pihak ketiga.

“Dulu-dulu orang tua-tua dulu mudah saja. Dia nakkan pahala untuk akhirat dia. Maka dia pun lafaz (wakaf), buatlah tapi tidak didaftarkan kepada MAIPk.

“Bila dia (pewakaf) meninggal, dia senaraikan semua harta tanah itu sebagai harta yang perlu difaraid.

“Akhirnya waris jual dan orang yang beli itu bukan Islam pula, seperti yang berlaku di sebuah masjid di daerah Kerian.

“Jadi sebab itu saya nasihatkan kepada semua masjid, yang belum lagi diwartakan, wakafkan harta tanah kepada MAIPk,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kitab Bagi Tujuan Bacaan di Masjid, Surau Diri Jumaat (SDJ) dan Surau Ta’addud Jumaat Seluruh Negeri Perak di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Sultan Azlan Shah di Tanjung Rambutan, di sini pada Isnin.

MB Perak gesa tanah wakaf masjid, surau segera didaftarkan
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada sidang media Majlis Pelancaran Kitab Bagi Tujuan Bacaan di Masjid, Surau Diri Jumaat (SDJ) dan Surau Ta’addud Jumaat Seluruh Negeri Perak di Dewan Latihan Kolej Kesihatan Bersekutu Sultan Azlan Shah Kementerian Kesihatan Tanjung Rambutan, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 05 MEI 2025.

Hadir sama, Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun; Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim; Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim dan Ketua Hakim Syarie Perak, Datuk Ab Rahman Thobroni Mohd Mansor.

Dalam pada itu, berhubung isu masjid di Kerian yang sebahagian tanahnya telah dijual kepada individu bukan Islam, Saarani dalam ucapannya berkata, beliau telah mengarahkan JAIPk dan MAIPk mengambil tindakan segera termasuk menebus kembali tanah berkenaan yang dianggarkan bernilai RM1.8 juta.

Katanya, kutipan sumbangan mingguan masjid-masjid di Perak yang mencecah RM5 juta hingga RM7 juta sebulan boleh disalurkan sebahagiannya bagi menyelamatkan tanah wakaf itu dan pekeliling akan dikeluarkan kepada semua pengerusi masjid berkaitan cadangan tersebut.

Tambahnya, terdapat masalah sama melibatkan tanah surau dan sekolah agama rakyat termasuk Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), yang kini memerlukan campur tangan kerajaan negeri dalam bentuk peruntukan dan pemilikan semula.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, kerajaan negeri sedang meneliti semula insentif kepada qari, qariah dan peserta hafazan yang mewakili Perak ke peringkat antarabangsa agar ganjaran yang lebih bersesuaian dapat diberikan. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Derma masjid lebih selamat melalui Portal Perak Digital 2.0

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI