SUNGAI SIPUT – Seramai 52 Orang Asli dari Pos Legap, Kampung Orang Asli Santeh, Pos Person dan Kampung Orang Asli Bawong, di sini, memeluk Islam pada Majlis Kesyukuran Cak Rayak Nei Aqidah, Nei Syahadah.
Kesemua mereka mengucap dua kalimah syahadah secara beramai-ramai dengan dipimpin Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani di Arena Sri Belantara Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Legap yang turut dihadiri kira-kira 300 orang.
Saarani dalam ucapannya menzahirkan rasa syukur serta terharu di atas kemasukan saudara baharu dari kalangan masyarakat Orang Asli yang telah mendapat hidayah Allah S.W.T.

“Hari ini kita menyaksikan satu detik sangat istimewa apabila seramai 52 saudara baharu dari masyarakat orang Asli telah menerima hidayah Allah S.W.T. untuk memilih Islam sebagai pegangan hidup.
“Kita raikan mereka dengan doa agar Allah S.W.T. menetapkan hati mereka dan mempermudahkan perjalanan hidup selepas ini. Inilah yang dinamakan hidayah, cahaya yang Allah beri kepada sesiapa yang Dia kehendaki,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Kesyukuran Cak Rayak Nei Aqidah, Nei Syahadah dan Majlis Peluncuran Surau Angkat Perkampungan Orang Asli Negeri Perak di Arena Sri Belantara SK Pos Legap, Sungai Siput (U), di sini, pada Ahad.

Menurut Saarani, saudara bahara yang memeluk Islam merupakan insan istimewa yang menerima hidayah daripada Allah S.W.T. dan akan dibimbing oleh ahli agama bagi mempelajari Islam dengan lebih dekat.
“Mereka yang baharu memeluk Islam ini mendapat hidayah Allah S.W.T. berbeza dengan orang macam saya dimana dilahirkan dalam keluarga Islam menerima ajaran Islam sejak kecil.
“Tetapi saudara baharu kita yang sebentar tadi kita saksikan bagaimana mereka mengucap dua kalimah syahadah merupakan insan teristimewa kerana dipilih Allah S.W.T.,” katanya. -MG Perak


