PARIT – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyantuni lebih 600 mangsa banjir di daerah Perak Tengah pada Khamis petang.
Saarani yang ditemani Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan, Datuk Khairudin Abu Hanipah dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim meluangkan masa bersama mangsa banjir di dua buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dalam daerah berkenaan.
Beliau tiba di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gantong, Bota di sini yang menempatkan 456 mangsa dari 116 buah keluarga pada jam 6.15 petang dan meluangkan masa kira-kira 20 minit berbual bersama mangsa banjir.
Saarani kemudiannya bergerak ke PPS SK Layang-Layang Kiri dan tiba sekitar jam 6.45 petang bagi menyantuni 177 mangsa dari 49 keluarga selama 20 minit.
Kehadiran Menteri Besar Perak itu membawa makna kepada mangsa banjir melihat sikap keprihatinan pemimpin berkenaan menyantuni rakyat yang berhadapan dengan bencana.
Bagi salah seorang mangsa banjir Hakim Nasir, 25, kehadiran Menteri Besar Perak bertanya khabar dan keadaan mereka membuktikan beliau mengambil berat keadaan rakyatnya.

Katanya, apabila mendengar Menteri Besar akan melawat PPS mereka ia sudah cukup membawa kegembiraan buat mangsa-mangsa banjir.
“Kampung kami kerap dilanda banjir cuma kali ini keadaannya sangat teruk dan bila Menteri Besar datang bertanya gambar ia membawa kegembiraan kepada kami.
“Terima kasih saya ucapkan kerana sudi berbual dan bertanya keadaan kami macam mana,” katanya.
Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak melaporkan seramai 5,455 orang mangsa banjir masih ditempatkan di 45 buah PPS melibatkan enam daerah setakat jam 8 malam ini.
Menurutnya, seramai 2,185 mangsa direkodkan di daerah Manjung diikuti Perak Tengah (1,373); Hilir Perak (1,356); Bagan Datuk (407); Larut, Matang dan Selama (115) dan Muallim (19). -MG Perak.


