TAPAH – Menteri Besar Perak mengesahkan menerima banyak pesanan atau mesej melalui aplikasi WhatsApps berkenaan latihan pengurusan dan pengendalian krisis keganasan, Ex Kurung di Politeknik Ungku Omar (PUO) pada Isnin.
Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, beliau sememangnya bimbang apabila dimaklumkan ada insiden serangan pengganas dan tebusan di institusi pendidikan itu, sebelum mendapatkan kesahihan daripada pihak terlibat.
“Sebelum mempengerusikan mesyuarat bersama Anggota Yayasan Perak, saya ada menerima mesej dan diberitahu ada satu kelas (di PUO) jadi tebusan (pengganas).
“Saya kemudian meminta Exco (Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah) untuk semak apa sebenarnya yang berlaku. Kemudian barulah saya dimaklumkan bahawa ia adalah latihan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Program Dari Mata Turun ke Hati-Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cakna Komuniti di Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Ahmad di sini, pada Selasa.
Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed serta Pengerusi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Ahmad Norihan Jalal.
Mengulas lanjut Saarani berkata, latihan Ex Kurung yang dijalankan Pasukan Gerakan Khas 69 Komando merupakan satu keperluan penting bagi memastikan kesiapsiagaan semua pihak dalam menghadapi situasi melibatkan pengganas yang sebenar.
Justeru beliau yang juga memegang portfolio Exco Keselamatan negeri memberitahu, bagi mendapatkan gambaran tepat berkenaan tahap kesiapsiagaan pasukan keselamatan, latihan tersebut dijalankan secara rahsia tanpa pemakluman kepada semua pihak
“Orang ramai perlu tahu betapa sukar dan susahnya mereka yang terbabit dengan (menjaga) keselamatan ini, seperti yang berlaku di Lahad Datu mahupun Krisis tebusan Bangunan AIA (Ogos 1975).
“Oleh sebab itu kita kena sentiasa ada latihan secara berkala dibuat dan kita pun tak boleh hanya mengambil mudah (dalam hal-hal yang melibatkan soal keselamatan),” katanya.
Pada Isnin media melaporkan, insiden ‘pengganas’, ‘tembakan’ dan ‘tebusan pelajar’ di PUO yang mencetuskan panik serta tular di media sosial adalah latihan Ex Kurung.
Dalam kejadian sekitar jam 9 pagi itu, seorang pelajar perempuan berusia 22 tahun mengalami kecederaan seliuh pada kaki kiri selepas terjatuh ketika berlari untuk menyelamatkan diri. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Seorang pelajar cedera ringan ketika sesi simulasi Ex Kurung di PUO