IPOH – Seramai enam orang menerima watikah pelantikan Lembaga Rayuan Perancangan Bandar dan Desa Perak bagi sesi 2025-2026 daripada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, hari ini.
Saarani berkata, pelantikan tersebut akan memperkukuh peranan Lembaga Rayuan itu sebagai satu institusi penting dalam menimbang serta memutuskan rayuan terhadap keputusan pihak berkuasa perancang, selaras dengan peruntukan di bawah Akta 172.
“Diharapkan semua ahli yang dilantik dapat melaksanakan amanah dengan penuh berintegriti, profesionalisme dan tanggungjawab demi kepentingan pembangunan mampan Negeri Perak. InshaAllah,” katanya menerusi hantaran Facebooknya pada Isnin.
Mereka yang dilantik adalah, Pengerusi, Ahmad Yani Aminuddin dan Timbalan Pengerusi, Lim Fang Say.
Manakala empat ahli lembaga tersebut adalah, Danial Rahman Yang Razali, Tun Mohamad Amar Aziz, Ooi Siok Hoon dan Anaspekri Mahiddin.
Lembaga Rayuan tersebut telah ditubuhkan di bawah Seksyen 36, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) dan diwartakan pada 15 Februari 1996.
Ia adalah sebuah badan bebas yang ditubuhkan oleh Pihak Berkuasa Negeri (PBN) bagi mendengar dan memutuskan rayuan daripada pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan Pihak Berkuasa Perancang Tempatan (PBPT) mengenai isu-isu perancangan bandar dan desa. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pelantikan Ketua Kampung cadangan parti dalam kerajaan – Saarani