IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengadakan lawatan rasmi ke pusat latihan berasaskan kemahiran, German-Malaysian Institute (GMI), Selangor, pada Isnin lalu.
Menerusi satu kenyataan MBI memaklumkan, ia sebagai usaha meneroka peluang kerjasama dalam bidang pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) serta teknologi masa hadapan.
Katanya, kehadiran delegasi MBI terdiri daripada Ahli Majlis, Muhammad Hamzah Md Hamdan dan Faidz Ismail diraikan Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan GMI, Ahmad Solihin Mohamed Yusoff.
“Lawatan bermula dengan tinjauan ke beberapa jabatan utama, antaranya Jabatan Komputer dan Maklumat (CID): Pusat Cyber Battlefield, Mini Cinema dan Makmal Rekaan 2D, Jabatan Kejuruteraan Elektrik (EED): Festo Lab serta Makmal EV dan Hibrid serta Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (MED): Additiv Zentrum.
“Seterusnya, delegasi menghadiri sesi taklimat dan ucapan alu-aluan oleh Ahmad Solihin. Sesi ini turut memberi ruang kepada kedua-dua pihak berbincang mengenai potensi kerjasama strategik terutama dalam memperkukuh penyertaan pelajar dari negeri Perak ke GMI,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Menurut kenyataan itu lagi, lawatan itu disifatkan sebagai langkah positif dalam menjalin kerjasama pendidikan dan pembangunan modal insan, khususnya dalam bidang TVET, seiring aspirasi kerajaan untuk melahirkan generasi muda berkemahiran tinggi.
“Lawatan ini juga berketetapan dengan hasrat Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad melalui agenda Perak Sejahtera 2030.
“Ia menekankan pembangunan TVET sebagai teras melahirkan modal insan berkualiti serta tenaga kerja mahir bagi menjana pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya lagi.
GMI, yang ditubuhkan pada tahun 1991 sebagai usaha sama Malaysia-Jerman, merupakan institusi perintis dalam bidang Sains Gunaan dengan pelaburan lebih RM1 bilion dalam kemudahan latihan bertaraf dunia.
Antara bidang kepakaran GMI termasuk automasi dan robotik industri serta teknologi pemesinan ketepatan dan CNC, yang menjadi nadi kepada pembangunan tenaga kerja mahir untuk memenuhi keperluan industri global. – MG Perak
Artikel Berkaitan: