MBI anjur Sesi Pra Bajet 2026, fokus kesejahteraan warga Ipoh

IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menganjurkan Sesi Pra Bajet 2026 sebagai satu usaha memperkukuh proses perancangan bajet yang lebih telus, inklusif dan responsif terhadap keperluan rakyat.

Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah berkata, bajet tahunan bukan sekadar alat pengurusan kewangan, malah merupakan cerminan kepada hala tuju dan aspirasi pembangunan bandar raya Ipoh ke arah kemampanan dan kesejahteraan menyeluruh.

“Bajet 2026 perlu bersifat responsif terhadap keperluan dan ekspektasi rakyat, selari dengan dasar kerajaan negeri dan Persekutuan, serta disusun secara realistik berdasarkan prinsip kecekapan pengurusan.

“Kita mengetengahkan keperluan untuk meningkatkan ketelusan dan keberkesanan perbelanjaan awam, sejajar dengan ekspektasi masyarakat yang semakin tinggi.

“Justeru, MBI akan terus memperkukuh saluran komunikasi dua hala seperti sesi libat urus awam (town hall), portal maklum balas dan pelbagai program keterlibatan komuniti bagi memastikan suara rakyat didengari dalam setiap perancangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Pra Bajet 2026 bersama Ahli-Ahli Majlis di Dewan Azlan Shah, Bangunan MBI di sini pada Selasa.

Beliau berkata, fokus utama Bajet 2026 terus diberikan kepada keperluan asas rakyat seperti penyelenggaraan jalan raya, pengurusan sisa pepejal, pembaikan infrastruktur, landskap bandar, kebersihan dan keselamatan.

Katanya, sesi ini turut menyaksikan penglibatan aktif Ahli Majlis yang membawa aspirasi dan keperluan masyarakat setempat.

“Semua pihak yang terlibat terus mengamalkan semangat kerjasama, keterbukaan dan integriti sepanjang proses penyediaan bajet.

“Dalam masa yang sama, elemen transformasi digital dan pelaksanaan konsep Bandar Pintar turut diberi penekanan selaras dengan matlamat menjadikan Ipoh sebagai Bandar Pintar menjelang 2030.

“Gunakan sesi ini untuk mempertimbangkan keperluan holistik bandar raya Ipoh, agar bajet yang dirangka benar-benar memberi impak kepada kesejahteraan warga kota,” ujarnya.

Sesi Pra Bajet ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan MBI dalam memastikan pengurusan perbandaran yang berteraskan prinsip tadbir urus baik dan kebertanggungjawaban, demi kemajuan Bandaraya Ipoh secara menyeluruh. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

MBI perkenal IpohGo, aplikasi pelancongan pintar bandar raya Ipoh

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI