MBI belanja RM30 juta setahun urus sisa pepejal

IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) membelanjakan kira-kira RM30 juta setahun bagi menampung kos pelupusan sisa pepejal di seluruh kawasan pentadbirannya.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamakhshari Hanipah berkata, jumlah itu termasuk kos menguruskan proses kutipan kira-kira 600 tan sisa pepejal setiap hari dari kawasan kediaman dan industri untuk dibawa ke Tapak Pelupusan Sanitari Sisa Pepejal di Lahat.

Menurutnya, bagi memastikan pengurusan sisa pepejal lebih mampan dan lestari, MBI mengambil langkah proaktif dengan menjalin kerjasama strategik bersama pihak swasta di bawah inisiatif Program Ekonomi Kitaran yang dilaksanakan sejak empat tahun lalu.

MBI urus sisa pepejal Ipoh Majlis Bandaraya Ipoh, pengurusan sisa pepejal, ekonomi kitaran, kitar semula pakaian terpakai, Life Line Clothing Malaysia, tapak pelupusan Lahat, kelestarian alam, Perak Sejahtera 2030
Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah ketika sidang media pada Majlis Perasmian Penempatan Tong Kitar Semula Pakaian Terpakai di Stesen Minyak Shell Sekitar Bandar Raya Ipoh Sebagai Program Program Local Agenda 21 Tahun 2025 di Jalan Hospital, Ipoh, pada Sabtu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 01 NOVEMBER 2025.

“Ekonomi kitaran bermaksud penggunaan semula dan pengitaran bahan secara maksimum sebelum ia dilupuskan.

“Dalam usaha ini, kita dapat mengurangkan kos pengurusan sisa pepejal di sampung meningkatkan jangka hayat tapak pelupusan seiring dengan visi menjadikan Ipoh sebagai ‘Bandaraya Bestari Sejahtera’.

“Kita mahu penduduk di Ipoh hidup dalam suasana sejahtera dan mampan yang meliputi aspek kebersihan persekitaran, udara dan sebagainya. Selain itu, ia juga merupakan usaha MBI dalam menjayakan agenda kelestarian di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penempatan Tong Kitar Semula Pakaian Terpakai Di Stesen Minyak Shell Sekitar Ipoh di Jalan Hospital, dekat sini, pada Sabtu.

MBI urus sisa pepejal Ipoh Majlis Bandaraya Ipoh, pengurusan sisa pepejal, ekonomi kitaran, kitar semula pakaian terpakai, Life Line Clothing Malaysia, tapak pelupusan Lahat, kelestarian alam, Perak Sejahtera 2030
Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah ketika sesi bergambar selepas merasmikan Majlis Penempatan Tong Kitar Semula Pakaian Terpakai di Stesen Minyak Shell Sekitar Bandar Raya Ipoh Sebagai Program Program Local Agenda 21 Tahun 2025 di Jalan Hospital, Ipoh, pada Sabtu. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 01 NOVEMBER 2025.

Hadir sama, Wakil Shell Malaysia Trading Sdn. Bhd, Rukiah Rahman; Pengurus Stesen Shell Bahakhi Petromart, Bahakhi Mohammad serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Life Line Clothing Malaysia Sdn. Bhd, Dale Warren.

Zamakhshari berkata, ketika ini MBI telah menjalin kerjasama dengan empat syarikat swasta dalam pengurusan pelbagai jenis sisa di bawah Program Ekonomi Kitaran.

Kata beliau, antaranya Edsha Solution Sdn. Bhd bagi pengurusan sisa elektronik atau e-waste; Biovisma Sdn. Bhd. (minyak masak terpakai); TetraPak (M) Sdn. Bhd (kotak minuman terpakai); dan Thowlee Recycle Sdn. Bhd. (tayar terpakai).

Tambah Zamakhshari, berkata, terbaru MBI menjalinkan kerjasama strategik dengan Life Line Clothing Malaysia sejak Jun lalu bagi pengumpulan dan pengitaran pakaian terpakai di bawah inisiatif sama.

Orang awam memasukkan bungkusan pakaian terpakai ke dalam tong kitar semula khas sempena Program Local Agenda 21 Tahun 2025 di Stesen Minyak Shell Jalan Hospital, Ipoh. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 01 NOVEMBER 2025.

“Syarikat terbabit telah meletakkan 35 tong kitar semula pakaian terpakai di kawasan MBI merangkumi sembilan stesen minyak Shell, pasar raya, kawasan perumahan serta sekolah.

“Sejak Jun hingga Oktober lalu, sebanyak 53,822 kilogram (kg) tekstil pakaian terpakai telah berjaya dikitar semula hasil kerjasama strategik ini dengan pelbagai pihak.

“Kita berharap usaha ini dapat memperkukuh komitmen kita di bawah Pelan Tindakan Ekonomi Donat untuk menjadikan Ipoh bandar yang sejahtera dalam batas keseimbangan sosial dan ekologi,” katanya lagi.

Dalam pada itu Zamakhshari memberitahu, kesedaran masyarakat di sekitar Ipoh terhadap kepentingan pengurusan sisa pepejal yang lestari menerusi kaedah kitar semula masih perlu ditingkatkan khususnya melalui pendekatan pendidikan.

“Kita telah memberikan kira-kira 150,000 tong sampah kepada penduduk Bandaraya Ipoh kerana kita percaya sekiranya ia dapat dimulakan di rumah, kesedaran dalam usaha boleh berlaku dengan pantas dalam kalangan masyarakat,” kata beliau lagi. – MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

MDKpr guna sisa makanan, hasilkan 27 tan kompos setahun

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI