IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan melaksanakan tindakan penguatkuasaan di bawah Seksyen 148, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) terhadap pemilik pegangan yang masih gagal menjelaskan tunggakan cukai taksiran masing-masing bermula November ini.
Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah, berkata tindakan itu terpaksa diambil selepas tempoh panjang diberikan kepada pemilik pegangan untuk melunaskan tunggakan, termasuk melalui tawaran bayaran ansuran sebelum ini.
Menurutnya, waran tahanan akan dikeluarkan terhadap mana-mana pemilik yang masih ingkar, dan kos tahanan tersebut perlu ditanggung oleh pemilik pegangan terbabit.
“Sekiranya masih gagal menjelaskan cukai taksiran selepas tempoh ditetapkan, MBI boleh menyita harta alih milik pemunya seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 148 Akta 171,” katanya ketika berucap pada Majlis Mesyuarat Penuh MBI di sini.
Zamakhshari menjelaskan, kadar kenaan waran tahanan ditetapkan pada RM150 bagi jumlah tunggakan sehingga RM1,000 manakala RM300 bagi tunggakan melebihi RM1,000.
Dalam masa sama, beliau menyeru pemilik pegangan yang masih mempunyai tunggakan, termasuk mereka yang gagal mematuhi perjanjian ansuran terdahulu, supaya segera hadir berbincang dengan pihak Majlis bagi mencari kaedah bayaran yang bersesuaian.
“Langkah proaktif ini penting bagi mengelakkan tindakan sitaan ke atas harta alih dilaksanakan.
“Justeru, sebagai kemudahan kepada orang ramai, MBI turut menyediakan aplikasi DMBI, yang membolehkan pengguna menjana bil cukai taksiran dengan tepat serta membuat bayaran secara dalam talian dengan mudah dan selamat,” jelasnya.
Beliau turut menzahirkan harapan supaya semua warga Ipoh terus menunjukkan komitmen dan tanggungjawab sebagai pembayar cukai taksiran demi kepentingan bersama.
“Pembayaran cukai taksiran yang konsisten amat penting bagi memastikan kelestarian perkhidmatan bandar raya serta pembangunan berterusan demi kesejahteraan komuniti,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Pembinaan pondok pengawal perumahan bukan strata perlu kelulusan MBI


