MBI diharap jadi ‘rujukan’ PBT lain di Perak

IPOH – Kerajaan Negeri Perak komited untuk terus memperkukuh kerjasama strategik bersama Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta kesejahteraan rakyat, seiring dengan aspirasi pembangunan negeri menjelang tahun 2030.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, pelantikan Ahli Majlis MBI bukan sekadar satu pengiktirafan, sebaliknya merupakan amanah besar yang menuntut tahap tanggungjawab, disiplin dan komitmen tinggi.

Menurutnya, setiap keputusan yang dibuat di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) akan memberi kesan langsung kepada kehidupan harian masyarakat.

“Ahli Majlis berperanan sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat dengan turun padang, memahami isu setempat serta memastikan setiap aduan ditangani secara berkesan dan menyeluruh.

“MBI sebagai PBT terbesar di Perak dan satu-satunya bandar raya di negeri ini memikul tanggungjawab penting sebagai wajah utama negeri serta rujukan dalam aspek tadbir urus bandar.

“Seiring dengan visi ‘Ipoh Bandar Wilayah Pintar Berteraskan Ekosistem Mampan dan Bestari Sejahtera’, MBI menyasarkan pembangunan bandar raya pintar, rendah karbon dan berdaya huni menjelang tahun 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap selepas selesai menyaksikan Majlis Angkat Sumpah Pelantikan Ahli-Ahli Majlis MBI bagi tempoh 16 Mac 2026 hingga 15 Mac 2028 di Dewan Mesyuarat MBI, di sini pada Isnin.

Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah.

Dalam pada itu, Sandrea berkata, pengiktirafan Ipoh sebagai Bandar Kreatif Muzik UNESCO serta statusnya sebagai bandar warisan dan pelancongan turut meningkatkan harapan agar pembangunan dilaksanakan secara holistik, merangkumi aspek fizikal dan kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan negeri turut menekankan bahawa rakyat menilai keberkesanan pentadbiran melalui pengalaman harian seperti kebersihan, penyelenggaraan infrastruktur, pengurusan sisa pepejal dan kecekapan perkhidmatan.

“Justeru, setiap aduan perlu disusuli dengan tindakan, pemantauan dan maklum balas yang jelas,” ujarnya.

Dalam memastikan keberkesanan pelaksanaan, beliau berkata, kerjasama erat antara ahli majlis dan pentadbiran MBI perlu diperkukuh melalui pendekatan berpasukan serta koordinasi merentas jabatan bagi mengelakkan kelewatan penyelesaian.

“Kerajaan Negeri Perak berharap MBI terus menjadi peneraju kepada PBT lain melalui pentadbiran cekap, penyampaian perkhidmatan berkesan dan budaya kerja profesional, selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030,” katanya. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Lapan muka baharu angkat sumpah ahli majlis MBI

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI