IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) terus memperhebat usaha memerangi aktiviti pembuangan sampah haram apabila sebanyak 140 lokasi ‘hotspot’ dikenal pasti bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.
Menerusi satu kenyataan, MBI berkata, bagi tempoh tersebut, sebanyak 1,151 tawaran kompaun berjumlah RM306,050 telah dikeluarkan terhadap pelbagai kesalahan melibatkan pembuangan sampah haram.
“Sejak tahun 2021 hingga Julai 2025, MBI turut melaksanakan langkah proaktif dengan mengagihkan 144,680 unit tong sampah percuma kepada penduduk di seluruh zon Ahli Majlis.
“Bagi meningkatkan kesedaran masyarakat, 80 papan tanda utama dan 431 papan tanda kecil larangan pembuangan sampah haram telah dipasang di lokasi strategik sekitar Ipoh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, MBI turut mengadakan Program Perak Bersih dan Sihat (Perak Best 2.0) 2025 bertemakan ‘Memerangi Hotspot Sampah Haram’ di Jalan Chepor 11/5, Kawasan Perusahaan Seramik, Chepor, di sini yang dirasmikan oleh Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah.
“Program ini adalah inisiatif Local Agenda 21 (LA21) yang menekankan kerjasama erat antara pihak berkuasa tempatan, masyarakat, dan sektor swasta dalam merancang serta menguruskan persekitaran ke arah pembangunan mampan serta peningkatan kualiti hidup.
“Fokus utama adalah membanteras pembuangan sampah haram dan memperkukuh amalan kebersihan awam, seiring aspirasi menjadikan Ipoh sebagai bandaraya bersih, sejahtera dan bestari.
“Antara aktiviti yang dilaksanakan termasuk pembersihan lokasi sampah haram dan pemasangan papan tanda kesedaran ‘Perangi Sampah Haram’.
“Kerja pembersihan awam seperti penyapuan jalan dan kutipan sampah pukal, edaran risalah larangan membuang sampah, serta pemeriksaan jentik-jentik dan aktiviti pengasapan (fogging) turut diadakan pada program itu,” ujarnya,
MBI turut menegaskan komitmennya untuk merealisasikan aspirasi Ipoh Bandaraya Bestari Sejahtera selaras dengan agenda Perak Sejahtera 2030.
“Sehubungan itu, masyarakat serta pihak swasta diseru untuk berganding bahu bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam membanteras isu sampah haram demi kesejahteraan bersama,” katanya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: