IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) menafikan bekerjasama dengan Persatuan Pencegahan Kezaliman Terhadap Haiwan Ipoh (ISPCA) berkaitan program pengurusan populasi haiwan terbiar, termasuk penggunaan tanda kolar merah dalam inisiatif perangkap, kebiri dan lepaskan (TNR).
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini, MBI memandang serius tindakan persatuan tersebut yang menggunakan logo rasmi pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut tanpa kebenaran sebagai bahan promosi program berkenaan.
Menurutnya, logo rasmi itu diletakkan di dalam video pendek berdurasi 1 minit 38 yang telah dimuat naik di dalam laman Facebook pengguna ‘Ricky Soong’ baru-baru ini.
“Tindakan tersebut telah memberi gambaran mengelirukan seolah-olah MBI masih terlibat secara rasmi dalam pelaksanaan program bersama ISPCA, sedangkan tiada kerjasama aktif antara kedua-dua pihak buat masa ini.
“Sehubungan itu, kami telah mengeluarkan arahan rasmi kepada ISPCA untuk menurunkan semua bahan promosi dan kandungan media sosial yang memaparkan logo MBI dengan serta-merta.
“Kami turut melarang penggunaan sebarang lambang, logo atau simbol rasmi MBI dalam apa-apa bentuk promosi tanpa kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa MBI,“ katanya.
Dalam masa sama, MBI juga menafikan sebarang penglibatan atau kaitan dengan program terkini ISPCA, khususnya yang melibatkan sistem tanda kolar merah ke atas haiwan terbiar yang didakwa dikendalikan di bawah nama MBI.
“Justeru, kami ingin menegaskan bahawa sebarang penggunaan identiti visual MBI adalah tertakluk kepada kelulusan rasmi, dan pihak yang melanggar peraturan ini boleh dikenakan tindakan undang-undang.
“Orang ramai adalah dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat sahih melalui saluran rasmi MBI bagi mengelakkan kekeliruan,“ ujarnya. – MG Perak
Artikel Berkaitan: