MBI perlu berbincang sebelum keluar kenyataan – MyBHA Perak

IPOH – Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA) Perak menyambut baik kesediaan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin untuk berbincang dengan pihaknya berhubung isu perkhidmatan Airbnb dan inap desa penginapan kediaman jangka pendek (STRA) di sini.

Pengerusi MyBHA Perak Zamari Muhyi berkata, bagaimanapun perbincangan itu harus dilakukan sebelum Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) membuat sebarang kenyataan berkenaan hal tersebut.

Zamari mendakwa, dalam hal itu, kenyataan Rumaizi yang dilaporkan menerima sebarang bentuk perniagaan tanpa lesen dan tidak berdaftar dilihat seolah-olah tidak mengambil kira aspek keselamatan pengunjung yang menginap di Airbnb dan STRA.

“Datuk Bandar ada menyatakan bahawa pihak MBI kena buat sesuatu terhadap AirBNB dan STRA di mana sekiranya tidak dilesenkan dan berlaku sebarangan kejadian kepada dua dua operasi perniagaan, ini akan menimbulkan masalah.

“Kenyataan ini menunjukkan bahawa Datuk Rumaizi sedia maklum kesan dari perniagaan yang tidak berlesen dan tidak berdaftar dengan mana2 agensi.

“Namun begitu beliau tetap berpandangan perlu diteruskan juga kerana atas faktor permintaan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.

Menurut Zamari, MyBHA sentiasa bersetuju dalam usaha untuk pembukaan lebih banyak hotel bertaraf empat dan lima bintang di Ipoh kerana segmentasi pasaran sentiasa berbeza mengikut kehendak pasaran serta kemampuan pelancong.

Kata beliau, malah ada juga ahli persatuannya yang melakukan inisiatif mengambil alih pengurusan lima hotel bajet dan bisnes yang terpaksa dihentikan operasi selepas terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 yang lalu.

“Dalam menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada pengunjung, MyBHA Perak sering mengadakan program dan latihan buat ahli-ahlinya.

“Ia seperti menganjurkan Kursus Mesra Malaysia dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Kursus Persediaan Awal Kecemasan dan First Aid, dan menganjurkan Pertandingan Lobi Bersih, Cantik dan Kreatif dengan kerjasama Tourism Perak dan sebagainya,” katanya lagi.

Sebelum ini, Rumaizi dilaporkan berkata, MBI akan mengadakan perbincangan dengan MyBHA susulan keputusan pihak berkuasa tempatan itu membenarkan perkhidmatan Airbnb dan inap desa STRA beroperasi untuk menampung keperluan penginapan di bandar raya ini.

Rumaizi berkata, perbincangan itu penting memandangkan sektor pelancongan turut menyumbang kepada pemulihan ekonomi negeri dan negara -MG Perak

 

Artikel Berkaitan:

MBI sedia berbincang selesai isu AirBNB, inap desa

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI