IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sedia bersemuka bagi berbincang bersama Persatuan Hotel Budget Malaysia (MyBHA) Perak dan Tourism Perak bagi menyelesaikan isu AirBNB serta inap desa di bandar raya ini.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, perbincangan itu bertujuan memberi pencerahan berhubung isu kekurangan bilik hotel bagi menampung pengunjung terutamanya sewaktu cuti hujung minggu dan sempena Tahun Melawat Perak (TMP) 2024.
Menurutnya, perkara tersebut mempunyai pro dan kontra serta perlu diselesaikan bagi mengelakkan isu lain timbul.
“Kalau kita tidak buat sesuatu maka AirBNB akan berkembang, begitu juga inap desa. Sekiranya kita tidak lesenkan dan berlaku apa-apa pada kedua-dua itu mungkin akan menimbulkan masalah.
“Bagaimanapun, permintaan mereka (AirBNB dan inap desa) juga tinggi, apa pun kita kena bincang dahulu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis Bulan Februari, di sini.
Rumaizi sebelum ini pernah menyuarakan isu kekurangan bilik hotel di Ipoh susulan kehadiran pengunjung yang mendadak khususnya musim perayaan dan cuti hujung minggu.
Menyentuh mengenai bilik hotel yang tidak mencukupi, beliau berkata, ia adalah berdasarkan pembahagian pasaran dan bilik untuk hotel bertaraf lima bintang memang tidak mencukupi.
“Contohnya, laporan daripada Kementerian Pengangkutan, lebih 500,000 pengunjung ke sini dan 300,000 daripadanya membabitkan warga asing.
“Pasaran mereka menjurus kepada hotel empat dan lima bintang. Orang Singapura atau Indonesia yang kaya, mereka tidak mahu menginap di hotel bajet,” jelasnya.
Sebelum ini, media melaporkan MyBHA Perak mengesahkan bilik hotel hotel di sekitar bandar raya Ipoh masih mencukupi untuk menampung kehadiran pelancong terutamanya pada cuti hujung minggu. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
[…] MBI sedia berbincang selesai isu AirBNB, inap desa […]