MBI terima lebih 900 aduan berkaitan anjing sehingga Julai

IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah menerima lebih 900 aduan sejak Januari hingga 20 Julai lalu berhubung anjing terbiar sekitar bandar raya ini.

Susulan itu, sebanyak 30 ekor anjing yang dikenal pasti agresif, berpenyakit atau terlibat dalam insiden menggigit orang awam telah dilupuskan secara berjadual mengikut prosedur operasi standard (SOP) melalui program Put To Sleep (PTS).

Pengarah Penguatkuasaan dan Keselamatan MBI, Ahmad Zaiyadi Sudin berkata, tindakan pelupusan itu dijalankan menerusi program PTS selepas penilaian diadakan bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Perak.

“Kita melakukan tangkapan selepas menerima aduan orang awam berhubung ancaman daripada haiwan tersebut.

“Sebagai contoh, kita pernah menangkap anjing yang menggigit pelajar sekolah dan juga kes terbaru melibatkan pembaca meter Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang turut digigit.

“Sebelum ini pun ada kes lebih serius di Silibin yang melibatkan kematian akibat gigitan anjing. Semua haiwan yang berisiko tinggi ini dihantar ke program PTS selepas dinilai oleh pihak veterinar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung berkaitan isu pelupusan anjing di Lahat, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Rabu.

Hadir sama, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching dan Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshari Hanipah.

Mengulas lanjut, Ahmad Zaiyadi berkata, MBI menerima 941 aduan berkaitan anjing bagi tempoh 1 Januari hingga 20 Julai tahun ini.

Katanya, daripada jumlah itu, 740 aduan melibatkan anjing terbiar, manakala 201 lagi membabitkan anjing peliharaan.

“Bagi tahun lalu pula, MBI menerima antara 1,822 aduan berkaitan anjing, melibatkan 1,342 anjing terbiar dan 480 anjing peliharaan.

“Ini menjadikan aduan anjing sebagai antara lima aduan tertinggi yang diterima oleh MBI setiap tahun. Kebanyakan kes melibatkan anjing mengejar orang awam dan berkeliaran secara berkumpulan di kawasan terbuka seperti jalan raya dan kawasan perumahan,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, semua tangkapan anjing dilakukan berdasarkan aduan yang diterima, dan pemilik anjing akan diberikan tempoh tiga hari untuk tampil menuntut haiwan masing-masing.

“Jika haiwan itu tidak dituntut dalam tempoh yang ditetapkan, dan didapati sebagai haiwan terbiar atau tiada pemilik, kita akan rujuk kepada pihak berkuasa veterinar sebelum tindakan selanjutnya diambil.

“Kita juga terbuka kepada rayuan atau permohonan daripada pemilik mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sekiranya mereka ingin menyelamatkan anjing tersebut,” katanya.

Tambah beliau, pihak MBI sentiasa mengutamakan keselamatan awam dan tidak akan berkompromi dalam menangani ancaman haiwan yang boleh membahayakan nyawa serta ketenteraman masyarakat. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Perak sedia ambil langkah undang-undang isu tular pelupusan anjing

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI