IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh masih meneruskan kajian secara menyeluruh berhubung cadangan untuk meluaskan larangan penjualan minuman keras di kawasan majoriti penduduk Islam seperti yang sudah dilaksanakan di Gugusan Manjoi.
Exco Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, kajian tersebut akan melibatkan banyak pihak dan akan mengambil kira sudut pandang dari segi perundangan, masyarakat dan peniaga.
“Buat masa ini, MBI masih dalam proses untuk kumpul maklumat sesi engagement (libat urus) melibatkan pelbagai pihak berkepentingan.
“Selain itu, setakat ini cadangan tersebut hanya dibangkitkan MBI dan tidak melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) lain di Perak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak di Ibu Pejabat JBPM Negeri Perak, Bandar Meru Raya, di sini, hari ini.
Januari lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dilaporkan berkata, kerajaan negeri telah memberi ‘lampu hijau’ kepada MBI untuk menjalankan kajian tersebut.
Saarani berkata, setakat ini pihaknya telah mendapatkan maklum balas MBI mengenai syor yang sedang dalam peringkat kajian dan akan melalui proses serta prosedur jawatankuasa sebelum dikemukakan kepada kerajaan negeri.
Terdahulu, Sandrea Ng menghadiri program agihan bubur lambuk kepada orang ramai sempena bulan Ramadan anjuran JBPM Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya petang tadi.
Katanya, pada program itu, sebanyak 300 bekas bubur lambuk kambing diedarkan kepada pengunjung
Katanya, selain itu anggota bomba turut mengedarkan risalah mencegah kebakaran serta mengambil peluang bagi meningkatkan kefahaman orang awam berhubung isu dan langkah untuk menjaga keselamatan.
Sementara itu, Pengarah JBPM Perak, Sayani Saidon berkata, pihaknya menyediakan empat periuk bubur lambuk kambing yang menghasilkan 1,000 bekas untuk diedarkan kepada agensi berhampiran, kakitangan dan anggota bomba serta untuk tetamu yang hadir pada majlis berbuka puasa hari ini. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
Perak beri ‘lampu hijau‘ MBI kaji syor meluaskan larangan jual arak