KUALA LUMPUR – MCA mempersoalkan status peruntukan sebanyak RM75.7 juta bagi kerja penambahbaikan Jalan Raya Timur-Barat (Gerik–Jeli) sejak tahun 2023, termasuk tambahan RM30 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ogos 2023.
Timbalan Presidennya, Dr. Mah Hang Soon berkata, Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu menjelaskan sama ada peruntukan itu sudah digunakan untuk kerja-kerja penambahbaikan jalan Gerik-Jeli termasuk di lokasi nahas bas yang mengorbankan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), kelmarin.
Dalam masa sama, beliau turut menggesa kerajaan menjelaskan tahap pemantauan dan keberkesanan pelaksanaan projek penambahbaikan jalan terbabit sehingga kini.
“KKR dan JKR perlu mengemukakan laporan terperinci dan telus berkenaan status pelaksanaan projek tersebut, serta bertanggungjawab dalam memantau keberkesanan kontraktor yang dilantik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Hang Soon turut mencadangkan kerajaan melarang perjalanan bas ekspres pada waktu malam bagi perjalanan jarak jauh tanpa kehadiran dua pemandu terlatih dan berkelayakan bagi mengelak nahas membabitkan bas berulang.
Selain itu, katanya, kerajaan juga perlu mewajibkan kamera papan pemuka (dashcam) dan sistem pemantauan Sistem Kedudukan Global (GPS) bagi semua bas penumpang.
Dalam masa sama, ujarnya, kerajaan juga perlu mewajibkan pemasangan lampu jalan dan penghadang keselamatan di kawasan cerun dan gelap yang berisiko mengakibatkan kemalangan.
“MCA juga mahu kerajaan menetapkan had laju dan kawalan ketat terhadap bas sewa serta kenderaan berat terutamanya di laluan berbukit atau selekoh tajam.
“Selain itu, pihak berwajib juga perlu melakukan audit berkala terhadap syarikat pengangkutan termasuk kemas kini rekod kesihatan dan displin pemandu,” katanya.
Dalam masa sama, Hang Soon turut menuntut siasatan menyeluruh dan telus dilaksanakan oleh pihak berkuasa berhubung insiden bas tersebut dan tindakan tegas mesti diambil tanpa kompromi sekiranya terdapat unsur kecuaian atau kelalaian.
“Kami turut berharap hasil siasatan dapat diumumkan kepada umum bagi menjamin kepercayaan rakyat terhadap sistem keadilan dan keselamatan negara,” katanya. – MalaysiaGazette