TAPAH – Naib Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Jack Seng mahu jentera partinya yang membantu calon Barisan Nasional (BN) Dr Mohamad Yusri Bakir dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Ayer Kuning tidak memandang ringan dalam berkempen.
Beliau berkata, meskipun menerima maklum balas positif daripada pengundi termasuk kaum Cina sepanjang lima hari berkempen usaha perlu ditingkatkan agar calon BN yang lebih mesra dikenali sebagai Ustaz Yusri memperoleh kemenangan pada 26 April ini.
“Selepas pencalonan kita sudah kuat berkempen dan yang penting kita ke semua pelosok yang boleh agar dapat bertemu dengan pengundi untuk merayu undi.
“Kita juga mahu memastikan pengundi terutamanya kaum Cina faham, tahu dan boleh keluar mengundi calon nombor satu iaitu calon BN yang merupakan calon kita,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kempen rumah ke rumah bersama Ustaz Yusri di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Pekan Getah, Tapah Road di sini, pada Rabu.
Ditanya mengenai perkembangan sepanjang lima hari MCA membantu Ustaz Yusri berkempen, Ahli Parlimen Tanjung Piai itu berkata, jenteranya telah mengedarkan risalah serta memberi penjelasan secara bersemuka kepada pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
“Selama ini kita menggunakan kaedah semangat BN dan pagi tadi saya berkempen di PDM Cold Stream dan kita lihat sambutan diterima agak positif.
“Tetapi kita kena juga usaha kuat untuk memastikan kita tidak boleh mengambil ringan kerana setiap undi amat penting,” katanya.
PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini diadakan berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, 59, pada 22 Februari lepas akibat serangan jantung.
Pertandingan tiga penjuru itu menyaksikan pertembungan antara Ustaz Yusri mewakili BN, Abd Muhaimin Malek dari PN dan Bawani KS dari Parti Sosialis Malaysia (PSM). -MG Perak
Artikel Berkaitan:
‘Pengundi Cina, India mengenali saya, beri penerimaan baik’ – Ustaz Yusri