PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah membuka 36 kertas siasatan berhubung penyebaran berita palsu di media sosial dan media digital melibatkan krisis tenaga global.
Dalam kenyataan hari ini, MCMC memaklumkan 22 individu dari pelbagai lokasi di seluruh negara telah dipanggil untuk rakaman percakapan bagi membantu siasatan.
“Sebanyak enam kertas siasatan telah dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk penelitian dan tindakan selanjutnya,” menurut kenyataan itu.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara hingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Menurut suruhanjaya itu, pihaknya memandang serius sebarang penyalahgunaan platform media sosial dan media digital yang bertujuan untuk mengelirukan orang ramai dengan penyebaran maklumat palsu.
“Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang sedia ada,” menurut MCMC.
Suruhanjaya itu mengingatkan orang ramai agar sentiasa bertanggungjawab dalam menggunakan platform media sosial dan media digital serta tidak menyalahgunakan kemudahan komunikasi bagi memuat naik atau menyebarkan kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan ketenteraman awam.
— BERNAMA


