KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengarahkan sekatan sementara ke atas akses kepada kecerdasan buatan (AI) Grok bagi pengguna tempatan, berkuat kuasa hari ini.
Katanya, tindakan diambil susulan penyalahgunaan Grok berulang kali untuk menjana kandungan lucah, kandungan seksual eksplisit, kandungan tidak senonoh yang jelik melampau serta imej manipulasi tanpa persetujuan.
Menurut kenyataan itu, penyalahgunaan tersebut termasuk kandungan yang melibatkan wanita dan kanak-kanak, walaupun libat urus kawal selia telah dikeluarkan kepada X Corp. dan xAl LLC.
“Sekatan akses kepada Grok akan kekal sehingga langkah perlindungan yang berkesan dilaksanakan, khususnya bagi mencegah kandungan yang melibatkan wanita dan kanak-kanak,” ujar kenyataan itu hari ini.
Dalam kenyataan itu, MCMC berkata, notis telah dikeluarkan terhadap X Corp. dan xAl LLC pada 3 Januari dan 8 Januari masing-masing.
Notis itu bagi menuntut, antara lain pelaksanaan langkah perlindungan teknikal dan penyelia kandungan yang berkesan untuk mencegah kandungan janaan Al yang mungkin melanggar undang-undang Malaysia, termasuk Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Ujarnya, walau bagaimanapun maklum balas yang dikemukakan oleh X Corp. pada 7 Januari dan 9 Januari lalu hanya memberi tumpuan utama kepada mekanisme pelaporan yang dimulakan oleh pengguna serta gagal menangani risiko sedia ada yang wujud hasil daripada reka bentuk dan pengoperasian alat Al itu.
SKMM mendapati perkara tersebut tidak memadai untuk mencegah kemudaratan serta memastikan pematuhan kepada undang-undang.
Sehubungan itu, sekatan dikenakan sebagai langkah pencegahan yang wajar sementara proses perundangan dan kawal selia masih berjalan.
“SKMM kekal terbuka untuk libat urus dengan X Corp. dan xAl LLC tertakluk kepada pematuhan yang dapat dibuktikan terhadap undang-undang Malaysia,” menurut kenyataan.
Orang awam digesa untuk melaporkan kandungan dalam talian yang memudaratkan kepada SKMM dengan segera dan, jika perlu, membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia.
Dua hari lalu, media melaporkan, ciri suntingan imej dalam platform AI Grok yang dibangunkan oleh syarikat milik Elon Musk kini hanya boleh diakses oleh pengguna berbayar.
Ia susulan kebimbangan terhadap penyalahgunaan teknologi itu untuk menghasilkan imej palsu atau deepfake, termasuk melibatkan tokoh politik.
Menurut laporan BBC, langkah mengehadkan akses kepada ciri tersebut diambil selepas beberapa pengguna dilaporkan menggunakan Grok untuk mencipta imej manipulatif yang disebarkan secara meluas di platform media sosial X. – MalaysiaGazette


