IPOH – Penganjuran Malaysia Culinary World Cup (MCWC) 2025 adalah langkah tepat dalam memperkasa industri kulinari serta menyokong aspirasi menjadikan Perak sebagai Koridor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara selari agenda Perak Sejahtera 2030.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Perak bukan sekadar menjadi lokasi penganjuran, malah menyediakan ekosistem latihan kemahiran tersusun melalui hab TVET yang luas dan berdaya saing.
“Dalam ucapan tadi, saya kata sekarang ini Master Chef dan juga bidang kulinari bukan setakat masakan, persembahan tetapi sekarang berkaitan dengan keupayaan, kreativiti atau inovasi.
“Ini bagi mereka yang berminat dengan bidang kulinari untuk mempersembahkan kreativiti dan kebolehan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Malaysia Culinary World Cup (MCWC) 2025 di Bulatan Sultan Azlan Shah, di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Chua Choon Hwa dan Presiden Pertubuhan Kulinari Malaysia Bersatu (MBCA) ialah Arthur Lim.
Dalam perkembangan berkaitan, Saarani berkata, pelaksanaan program TVET berskala besar di Perak, termasuk TVET kulinari, memberi nilai tambah kepada penganjuran MCWC 2025.
“Secara kebetulan, kita sedang melancarkan program besar-besaran TVET dan salah satu program adalah TVET kulinari.
“Selalu saya sebut jangan pandang rendah kepada bidang kulinari kerana terbukti cef ini mempunyai pendapatan yang lumayan dan mempunyai kedudukan yang dihormati,“ ujarnya.
Saarani turut menyeru institusi pendidikan TVET di negeri ini untuk memberi tumpuan kepada bidang kulinari selain teknikal.
“Saya sudah beritahu kepada semua kolej komuniti ataupun institut yang ada bidang TVET. Selain daripada beri kepada bidang-bidang teknikal, beri juga tumpuan kepada bidang kulinari,” katanya lagi.
Katanya, penganjuran pertandingan seperti MCWC mampu menjadi platform pendedahan kepada peserta muda.
“Sehubungan itu, saya yakin ramai orang muda yang berbakat menyertai pertandingan ini teruja dengan ilmu dan kemahiran pengalaman yang datang daripada cef-cef lebih senior,” jelasnya.
MCWC 2025 melibatkan 800 peserta dari seluruh negara, serta turut melibatkan 16 buah negara lain dengan 65 kategori dipertandingkan secara serentak.
Pertandingan kali ini akan diadili oleh 115 orang juri profesional dari 25 buah negara serta 60 daripadanya adalah juri tempatan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa. – MG Perak
Artikel Berkaitan:
660 peserta termasuk OKU pamer bakat kulinari pada MCWC 2025