MDKpr guna sisa makanan, hasilkan 27 tan kompos setahun

KAMPAR – Majlis Daerah Kampar (MDKpr) telah menghasilkan sekitar 27 tan baja kompos setiap tahun sejak memulakan inisiatif pengkomposan sisa makanan pada tahun 2009 menggunakan kaedah Takakura Home Method (THM).

Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran MDKpr, Masriza Lazarous berkata, projek ini bermula daripada hasil pembelajaran daripada Profesor Takakura yang memperkenalkan kaedah kompos mesra pengguna domestik.

Menurutnya, kompos tersebut dihasilkan sepenuhnya menggunakan sisa makanan yang boleh didapati di dapur rumah yang juga dikenali sebagai kompos organik.

“Antara sumber utama sisa makanan yang kita peroleh adalah hasil kerjasama dengan rakan strategik seperti Hotel Grand Kampar, Hospital Kampar dan kilang kacang Ngan Yin.

“Sisa makanan akan dikutip secara harian oleh kakitangan dari Hotel Grand Kampar, dibawa ke sini dan kita akan tos serta keringkan sebelum dimasukkan ke dalam benih kompos.

“Pengumpulan sisa makanan mencecah kira-kira 100 kilogram (kg) sehari dan hasil kompos yang dapat dikeluarkan adalah sekitar 40 hingga 60 peratus daripada jumlah sisa yang dikumpul,” katanya.

MDKpr guna sisa makanan, hasilkan 27 tan kompos setahun
Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Majlis Daerah Kampar, Masriza Lazarous memberi penerangan cara pemprosesan baja kompos ketika MG Perak di Pusat Aktiviti Kompos, Tapak Pelupusan Sampah Majlis Daerah Kampar. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Malaysia Gazette (MG) Perak di Pusat Aktiviti Kompos MDKpr, di sini.

Dalam perkembangan sama, Masriza berkata, kaedah penghasilan kompos melibatkan penyediaan benih kompos yang memerlukan enzim khas dan demonstrasi kaedah ini turut diberikan kepada individu atau kumpulan yang berminat.

Tambahnya, tempoh matang untuk hasil tuaian kompos ini adalah sekitar tiga bulan sebelum dikisar, dibungkus dan dipasarkan secara kecil-kecilan.

“Kompos yang dihasilkan digunakan sebagai baja untuk tanaman dan bertindak sebagai ‘soil conditioner’ bagi menyuburkan tanah.

“Sasaran utama penggunaan baja kompos ini adalah kawasan perumahan, khususnya golongan pesara yang bercucuk tanam di rumah bagi mengurangkan kebergantungan kepada baja kimia.

“Terdapat juga pihak berkuasa tempatan (PBT) dari dalam dan luar Perak turut datang ke sini mempelajari cara pembuatan kompos tersebut.

“Projek ini turut mendapat sambutan di sekolah, komuniti dan institusi pengajian tinggi seperti Universiti Tunku Abdul Razak (UTAR) yang menjemput kita untuk mengadakan demonstrasi membuat kompos tersebut,” jelasnya.

MDKpr guna sisa makanan, hasilkan 27 tan kompos setahun
Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Majlis Daerah Kampar, Masriza Lazarous memberi penerangan cara pemprosesan baja kompos ketika MG Perak di Pusat Aktiviti Kompos, Tapak Pelupusan Sampah Majlis Daerah Kampar. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR.

Beliau berkata, maklum balas daripada pengguna sangat positif dan pihaknya turut menyediakan bungkusan kompos yang dijual pada harga RM5 sekilogram.

“Setakat ini kita jual RM5 untuk 1kg, ia murah sebab organik,” katanya.

Bagaimanapun, Masriza menjelaskan bahawa objektif utama penghasilan kompos ini bukan untuk keuntungan, tetapi untuk mendidik masyarakat dalam mengurangkan sisa makanan dan menggalakkan amalan pengkomposan di rumah. – MG Perak

Artikel Berkaitan:

Hotel pertama di Perak tukar sisa makanan jadi baja

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : MG Perak
X : MG Perak
Instagram : MG Perak
Youtube : MG Perak
TikTok : MG Perak
Threads : MG Perak

ARTIKEL BERKAITAN

KOMEN

TINGGALKAN PESANAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

Kongsi

TERKINI